Pada tahun lepas, saya dan isteri ingin membina rumah idaman di sekitar kawasan Jerudong.
Kami berminat dengan kawasan ini kerana lokasinya yang mantap, tidak jauh daripada akses ke lebuh raya utama, kemudahan-kemudahan awam, taman permainan dan tidak terlalu jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (kurang 30 minit).
Namun, hasrat kami terbatal apabila tinjauan kami mendapati rata-rata tanah di sekitar Jerudong berharga sehingga ratusan ribu ringgit.
Sebelum ini terdapat tanah bersaiz sekitar 0.4 ekar yang terletak di simpang 3xx dijual pada harga setengah juta ringgit.
Pada saya, ia terlalu mahal bagi kebanyakan rakyat Brunei termasuk saya sendiri. Ini belum termasuk kos untuk membangun rumah dan kos-kos lain yang berkaitan.
Jadi, kami pun menukar niat kami kepada mencari rumah yang dibangunkan oleh pemaju.
Sekali lagi, alangkah terkejutnya kami apabila mendapati rumah yang begitu kecil dijual pada harga lebih $400,000 di Jerudong.
Malah, rumah tersebut hanyalah jenis berkembar (semi-detached). Ia sungguh tidak masuk akal.
Bagaimana mereka boleh terfikir untuk jual rumah semahal itu? Adakah sekadar ingin mengejar keuntungan semata-mata? Jika ya pun, berpada-pada lah.
Saya yakin tiada siapa di dunia ini yang ingin berniaga untuk rugi. Namun, beringatlah.
Ada juga rakan-rakan yang mencadangkan kepada saya supaya menunggu perumahan kerajaan.
Masalahnya, sampai bila kami perlu menunggu? Kami faham kekangan kerajaan dalam menyediakan perumahan untuk rakyat Brunei.
Jadi, kami tidaklah terlalu berharap untuk skim tersebut. Lagipun, matlamat utama kami adalah untuk settle down di Jerudong. Maka, saranan mereka tidak terpakai untuk kes kami.
Di kesempatan ini, saya ingin menyeru pihak berwajib supaya turun padang dan benar-benar pantau situasi ini.
Jika ia dibiarkan berterusan, saya khuatir anak-anak muda tidak lagi mampu memiliki rumah pada masa hadapan.
Pembeli rumah pertama