Pelakon Diana Danielle ambil pendekatan menghantar dua anaknya iaitu Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10, menyertai pelbagai aktiviti sukan sebagai satu bentuk usaha mengawal kebebasan penggunaan gajet yang berisiko menyumbang banyak perkara negatif kepada kanak-kanak sejak kebelakangan ini.
Menurut Diana, 35, pendekatan tersebut tidak dilakukan seorang diri tetapi dengan sokongan bekas suaminya, Farid Kamil yang sentiasa memainkan peranan memantau aktiviti anak-anak.
“Kalau tanya bagaimana kawal kebebasan anak-anak, cara yang saya dan Farid lakukan adalah sibukkan jadual mereka seperti empat kali seminggu akan bermain bola sepak.
“Mereka habis sekolah pukul 3 petang kemudian bola sepak pada pkul 6 petang yang adakalanya sehingga pukul 10 malam. Hujung minggu pula ada ‘tournament’. Jadi, apabila asyik bersukan, bila pulang ke rumah sudah letih, kemudian terus tidur.
“Sebenarnya ada sahaja masa mereka guna gajet dan menonton televisyen tetapi tidak lama sebab kebanyakan energi sudah dikeluarkan untuk sukan,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang media drama Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup di sini, semalam.
Tambah Diana, dia juga komited memainkan peranan sebagai ibu dengan memastikan dapat meluangkan masa dan dalam masa sama memantau perkembangan anak-anaknya setiap hari.
Jelasnya, Farid juga memainkan peranan sebagai bapa dengan baik terutama dalam menguruskan jadual melibatkan aktiviti sukan anak mereka.
“Saya akan hantar anak-anak ke sekolah setiap pagi. Ketika itulah saya dapat tengok keadaan mereka.
“Sebelum tidur juga, tambahan pula mereka masih tidur dengan saya. Memang setiap malam dan pagi saya akan pantau mereka sekarang saya banyak bekerja dari rumah, ini peluang supaya sentiasa ada masa bersama anak-anak.
“Farid pula akan uruskan mereka punya aktiviti sukan kerana tempat latihan bola sepak berdekatan dengannya sementara saya pula tentang pelajaran dan persekolahan. Di situ kami cuba seimbangkan peranan masing-masing dalam menguruskan kehidupan harian anak-anak,” ujarnya.
Ujarnya lagi, dia dan Farid menghalang anak-anaknya daripada bermain permainan atas talian termasuk Roblox yang popular dalam kalangan generasi muda hari ini.
“Ayah mereka pun memang sangat menentang permainan Roblox itu sejak dahulu sehingga sekarang. Pemantauan ibu bapa sangat penting. Sebab kadang-kadang mungkin ibu tak nampak tapi ayahnya nampak kesan-kesan buruknya.
“Sebagai ibu bapa, kelemahan atau kesilapan yang orang lain lakukan, kami cuba ambil iktibar dan ubahlah ikut yang semampunya,” katanya lagi. – Agensi


