Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Kawal masalah elak jadi barah’

    Ramai melabel pasangan Awal Ashaari dan Scha Al Yahya sebagai pasangan contoh yang sentiasa dilihat romantik dan bahagia namun pengacara itu menjelaskan mereka juga tidak terlepas daripada cabaran rumah tangga.

    Awal, 41, berkata, dia dan Scha bagaimanapun sentiasa mencari jalan untuk berkomunikasi sekiranya timbul sebarang masalah agar ia tidak berlarutan dan berbekas di hati masing-masing.

    “Setiap pasangan ada ujian masing-masing. Macam saya dan Scha bukanlah sentiasa ‘wangi’, kami juga ada masalah dan aib sendiri.

    “Saya selalu ingatkan Scha, walau apa pun terjadi, kami perlu kawal sesuatu masalah dengan baik agar ia tidak menjadi ‘barah’.

    “Siapa tak pernah bergaduh, saya dan Scha mempunyai karakter dan pemikiran yang berbeza. Bila timbul salah faham, komunikasi adalah kunci dalam menyelesaikan masalah,” katanya kepada mStar.

    Awal dan Scha akui rumah tangga tidak sentiasa indah. – Agensi

    Dalam pada itu, Scha, 40, pula memberitahu sekiranya timbul masalah dia cuba mendapatkan nasihat daripada keluarga agar tidak terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan atau tindakan.

    Jelas Scha, berkongsi masalah dengan insan dipercayai sedikit sebanyak dapat memberi ketenangan kepada dirinya.

    “Kalau boleh, cuba diam dulu, kadang-kadang saya minta pendapat keluarga juga. Ambil pandangan dan borak dengan orang yang betul-betul kita percaya.

    “Ambil pendapat mereka. Tidak banyak, sedikit pun kita dapat berkongsi dan luahkan masalah. Insya-Allah keadaan diri akan bertambah baik,” ujarnya.

    Bagi Awal pula, dia biasanya memilih untuk keluar daripada rumah sekiranya mereka bertengkar bagi membolehkan dia menenangkan diri kerana bimbang sikap baran akan menguasai diri.

    “Saya pula suka berdiam diri dulu untuk tenangkan keadaan dan berfikir. Saya akan keluar rumah seketika kemudian bila dah reda saya akan balik rumah.

    “Sebab saya tahu, saya jenis yang panas baran, kalau perkara itu (pergaduhan) terjadi saya risau sikap panas baran saya akan memburukkan keadaan lagi,” kongsinya.

    Untuk rekod, Awal dan Scha mendirikan rumah tangga pada tahun 2012 dan pasangan ini memiliki dua cahaya mata iaitu Lara Alana, 8, serta Lila Amina 3 tahun. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda