Tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan seperti tahun-tahun yang sudah, ramai kalangan kita yang suka membuat persiapan pada saat-saat akhir untuk meraikan hari perayaan tersebut.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa kita seharusnya bersederhana berbelanja dalam membuat segala persiapan termasuklah pakaian baharu, menghias rumah, menyediakan kuih-muih dan sebagainya.
Bak kata pepatah, ‘ukur baju di badan sendiri’ dan jangan sampai ‘sudah terhantuk baru nak tengadah’.
Dari segi konsep berbelanja, kedua-dua pepatah yang berkaitan itu dapat diertikan bahawa apabila hendak membeli sesuatu perlu mengikut kemampuan diri sendiri, jangan nanti apabila sudah boros berbelanja hingga mendapat kesusahan baru hendak beringat-ingat.
Terdapat juga sebilangan orang kitani, selepas banyak berbelanja untuk Hari Raya, terpaksa ikat perut hingga hujung bulan atau mengharap dijemput untuk datang ke rumah berbuka.
Malah, ada juga yang hanya makan kuih raya hingga hujung bulan disebabkan terlalu banyak membeli kek dan kuih.
Namun dalam kita masih dalam bulan Ramadan mubarak ini, kita seharusnya mengawal nafsu dan memperbanyakkan amalan.
Sehubungan itu, saya menyarankan orang ramai untuk bersederhana, bukankah kesederhanaan itu merupakan sebahagian daripada iman? Dan jika kita mengamalkannya, mudah-mudahan akan mendapat berkah dan ganjaran daripada Allah SWT.
#Belumgajibossku










