Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mencapai tahap kesihatan yang tinggi. Negara-negara anggota ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam telah menghasilkan 12 cadangan untuk mengawal selia pemasaran makanan dan minuman bukan alkohol bagi melindungi kanak-kanak dan generasi yang akan datang, daripada kesan bahaya pemasaran pemakanan.
Setelah diluluskan oleh Mesyuarat Pegawai Kanan Mengenai Pembangunan Kesihatan (SOMHD) pada Mac 2023 dan disusuli dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) pada September 2023, Negara Brunei Darussalam mengambil bahagian dalam pelancaran secara maya Piawaian dan Garis Panduan Minimum mengenai Tindakan bagi Melindungi Kanak-Kanak daripada Kesan Bahaya Pemasaran Makanan dan Minuman Bukan Alkohol di Rantau ASEAN pada 18 Mac, lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, acara berkenaan dianjurkan oleh The Department of Health, Ministry of Public Health Thailand, yang mana Thailand sebagai negara peneraju projek dan diketuai bersama oleh Filipina dan Singapura dengan sokongan daripada rakan kongsi Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan Alive & Thrive.
Acara itu bermatlamat untuk melancarkan dan menyebarkan maklumat mengenai piawaian dan garis panduan minimum mengenai tindakan bagi melindungi kanak-kanak daripada kesan bahaya pemasaran makanan dan minuman bukan alkohol di rantau ASEAN.
Semasa acara pelancaran itu, telah dikongsikan rakaman video mesej yang mengandungi sokongan yang disatukan daripada 10 Menteri Kesihatan ASEAN. Antaranya ialah Menteri Kesihatan, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Md Isham bin Haji Jaafar, di mana ia menunjukkan sokongan penuh beliau terhadap pelaksanaan dokumen berkenaan untuk melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada pemasaran makanan dan minuman bukan alkohol yang tidak sihat di rantau ASEAN.


