Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Sempena Acara Kemuncak Sambutan Jubli Intan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan diadakan di Bandar Seri Begawan esok bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari, beberapa Jalan Utama di Bandar Seri Begawan yang terlibat akan dikawal selia di sepanjang acara kemuncak sambutan berkenaan oleh pihak Jabatan Siasatan Kawalan Lalu Lintas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Urus setia Tertinggi Sambutan Jubli Intan ABDB, memaklumkan bahawa jalan-jalan yang terlibat termasuk Jalan Sultan Omar Ali Saifuddien, Jalan Elizabeth Dua, Jalan Mc Arthur, Jalan Kianggeh, Jalan Residency, Jalan Pretty, Jalan Sumbiling dan Jalan Stoney.
Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Intan ABDB memaklumkan bahawa sebahagian jalan yang terlibat akan dikawal selia untuk memberi ruang bagi acara kemuncak berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dan para pengguna jalan raya dinasihatkan dan dipohonkan kerjasama serta perhatian untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada para petugas pada hari berkenaan, mematuhi papan-papan tanda dan membuat perancangan laluan terlebih dahulu jika hendak menghala ke kawasan berkenaan, mengosongkan kenderaan dari tempat-tempat berkenaan serta tidak meletakkan kenderaan di kawasan-kawasan atau jalan yang telah dinyatakan sebelum tarikh dan masa bermula penutupan jalan supaya acara kemuncak sambutan itu dapat berjalan dengan lancar.