Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kawal sifat amarah

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Kehidupan di dunia ini tidak terlepas menerima ujian dan dugaan daripada Allah S.W.T, sama ada dalam bentuk kesenangan atau pun kesusahan yang ada kalanya untuk menggembirakan dan ada kalanya untuk membuatkan orang yang diduga berasa marah dan tidak tenteram.

    Namun dalam menghadapi cabaran dan dugaan tersebut, umat Islam hendaklah mencontohi sifat terpuji dan akhlak Rasulullah S.A.W. seperti bersifat lemah lembut, pemaaf, sabar, tidak mudah marah dan sebagainya.

    Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai perkara tersebut, menambah bahawa sikap marah adalah disebabkan panas hati atas sebab tertentu seperti tersinggung perasaan, dihina, ditipu, dicerca, difitnah dan seumpamanya. “Tidak dinafikan, dalam setiap diri manusia pasti ada sifat marah tapi kemarahan itu perlu dikawal dan ada batasnya,” tegasnya.

    Antara punca-punca yang menyebabkan sifat marah itu terjadi iaitu sifat ujub, riak dan takabur dalam diri seseorang yang merasakan diri mereka lebih hebat dan mulia daripada orang lain.

    Sifat marah boleh terjadi disebabkan pertengkaran atau perbalahan kerana sesuatu perkara yang kadang-kadang puncanya adalah kecil saja. Selain itu, sifat marah juga boleh terjadi kerana merasakan dirinya dizalimi, dikhianati, diperkecilkan dan sebagainya.

    Khatib menambah, ada kalanya bergurau yang melampau had dan batasannya juga boleh membawa punca marah apabila ia diakhiri dengan maki hamun, mencaci, mencela, pukul-memukul dan sebagainya.

    Menurut khatib lagi, lidah yang tidak dikawal dengan baik boleh mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan orang lain dan menimbulkan kemarahan.

    Sehubungan itu, untuk mengelakkan diri daripada bersifat marah, hendaklah sentiasa menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang menjadi punca timbulnya kemarahan itu.

    “Kita hendaklah mengawal kemarahan dan menanamkan sifat rendah diri serta bersedia memaafkan kesalahan orang lain,” katanya.

    “Jika ada orang yang membuatkan kita marah, hendaklah bersabar dan janganlah berdendam dan bermusuhan, apatah lagi untuk memutuskan hubungan silaturahim,” tambahnya.

    Menurut khatib, dalam agama Islam menjelaskan, marah itu terbahagi kepada dua iaitu marah yang dipuji dan marah yang dikeji. Marah yang dipuji ialah apabila sesorang itu marah kerana mempertahankan kebenaran dan perkara yang hak maka adalah tidak salah jika berasa marah apabila kemungkaran berlaku di depan mata tetapi cara melahirkan marah itu biarlah dengan cara yang betul dan kena dengan tempatnya dengan tujuan untuk menyedarkan orang yang melanggar perintah Allah S.W.T dan RasulNya.

    Manakala marah yang dikeji pula, marah kerana mempertahan perkara yang batil seperti bermegah-megah mempertahankan nama, pangkat, kebesaran diri dalam majlis-majlis, bermegah dengan ilmu pengetahuan dan harta.

    “Jika sifat marah itu menguasai diri, ia akan mengakibatkan pelbagai keburukan seperti berlaku pergaduhan dan yang lebih dasyhat lagi boleh menyebabkan berlakunya pembunuhan,” tegasnya. Dalam perkara ini, untuk mengelakkan berlakunya perkara buruk tersebut, hendaklah mengawal dan menahan diri daripada bersifat marah.

    Khatib seterusnya menjelaskan yang marah itu boleh dikawal dan dicegah dengan melakukan beberapa perkara antaranya bertafakur, memikirkan kisah-kisah teladan yang menyebut buruk baiknya sifat marah, berfikir keutamaan menahan kemarahan, memberi maaf dan berlemah lembut.

    Selain itu, sentiasalah ingat kepada seksa Allah S.W.T dan percaya kekuasaan Allah S.W.T ke atas dirinya lebih besar berbanding kekuasaannya ke atas orang lain dan sentiasa mengingatkan dirinya, marah akan mengakibatkan permusuhan dan dendam sementara kesan buruk bagi dirinya ketika dia marah dan berfikir betapa kejinya sifat marah itu.

    Khatib turut menasihatkan apabila seseorang itu sedang marah, sebaik-baiknya hendaklah ia berwuduk kerana air yang disapukan pada anggota badan itu bukan saja menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan tetapi ia juga dapat menyejukkan muka dan anggota badan yang sedang panas dan marah itu.

    Sesungguhnya menjauhkan diri daripada sifat marah itu boleh mengelakkan sifat dengki, dendam, benci, buruk sangka, memendam perasaan, tidak baik terhadap seseorang dan bermacam-macam lagi sifat yang dikeji oleh syarak.

    “Agama Islam mahukan umatnya bersatu padu, hidup bersaudara, berkasih sayang dan menganjurkan umat Islam untuk menjauhi perpecahan, perselisihan dan permusuhan yang akhirnya dapat membawa kepada kehancuran,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda