Oleh Sim Y. H. & Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Pengawalan anjing-anjing peliharaan atau liar adalah di bawah kawalan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), jabatan bandaran dan jabatan daerah seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Anjing, Penggal 60, di mana agensi-agensi berkenaan diberikan kuasa untuk memusnahkan dan merampas anjing-anjing terbiar yang tidak bertuan.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari mengenai pengawalan binatang berkeliaran semasa hari keempat Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.
Yang Berhormat Pehin menerangkan lanjut bahawa di bawah Akta Kesalahan Kecil, Penggal 30, polis diberikan tanggungjawab di bawah peruntukan undang-undang untuk menangani binatang berbahaya termasuk anjing.
Sementara itu, tambah Yang Berhormat Pehin lagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) sering kali dihubungi untuk menangani binatang liar seperti ular di tempat kediaman awam. Pada masa ini, tidak ada peruntukan perundangan khusus dalam JBP bagi menangani isu binatang-binatang liar.
“Bagaimanapun, demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, jabatan berkenaan telah menjadi ‘first responder’ apabila ada orang awam menghubungi,” Jelas Yang Berhormat Pehin lagi.
Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, sungguhpun terdapat peruntukan undang-undang mengenai anjing dan pemusnahannya, tindakan agensi-agensi berkenaan bagaimanapun berpandu kepada Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam iaitu Fatwa Mufti Bilangan 7/1997 berkaitan penghapusan anjing liar.
Yang Berhormat Pehin memetik fatwa berkenaan, “Membunuh binatang pada dasarnya adalah dilarang, melainkan yang telah ditetapkan atau diharuskan oleh syarak boleh dibunuh iaitu binatang itu membahayakan atau memudaratkan sama ada memang tabiat semula jadi membahayakan atau sebaliknya seperti anjing penggigit atau anjing gila.
“Maka boleh dicegah bahayanya itu menurut kesesuaiannya termasuk dengan membunuhnya. Itu pun setelah langkah-langkah dan ikhtiar dibuat bagi menghalang kemudaratan tersebut.”
Yang Berhormat Pehin juga menyatakan, sebelum langkah-langkah menghapuskan dilakukan, maka ikhtiar terlebih dahulu dibuat bagi mencari sebab mengapa anjing-anjing berkumpul di sesuatu tempat dan mengusahakan supaya ia tidak datang berkumpul di tempat tersebut.
Usaha yang dilaksanakan adalah seperti tidak meletakkan sampah-sarap merata-rata atau di tempat-tempat terdedah yang mudah bagi anjing mendapatkan sisa-sisa makanan.
“Dan jika semua langkah tersebut telah dilakukan dan gagal, maka pada ketika itu, bolehlah dibunuh anjing-anjing itu setakat diperlukan.”
Berhubungan perkara itu juga, Yang Berhormat Pehin menyatakan kementeriannya tidak mempunyai statistik kes-kes kemalangan jalan raya yang melibatkan hidupan liar.
Walau bagaimanapun, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) mempunyai statistik bagi lesen anjing yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.
“Seperti yang ditetapkan dalam Akta Anjing Penggal 60, harga lesen anjing ialah $5 setahun dan setiap anjing yang didaftarkan perlu dipasang label dengan bayaran $3.”
Yang Berhormat Pehin mendedahkan di Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan sehingga 31 Januari, 264 lesen anjing telah dikeluarkan, di Jabatan Bandaran Kuala Belait/ Seria sebanyak 271 lesen dan di luar kawasan Bandaran Kuala Belait dan Seria terdapat 91 lesen telah dikeluarkan.
Yang Berhormat Pehin juga memberikan penerangan mengenai cadangan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa untuk mengembiri bagi mengurangkan pembiakan binatang berkeliaran.
Berhubungan dengan cadangan itu, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan pada 12 Februari 2013 telah menghadapkan isu pengembirian binatang kepada Jabatan Mufti.
Yang Berhormat Pehin menerangkan bahawa dalam surat jawapan Mufti Kerajaan pada 4 Mac 2013 telah menyatakan siri Fatwa bilangan 19/1983 berhubung pengembirian anjing.
Secara ringkasnya, Yang Berhormat Pehin memetik surat berkenaan menyatakan, “Pengembirian binatang hanya dibolehkan bagi binatang yang halal dimakan sahaja. Adapun binatang yang tidak halal dimakan maka tiadalah harus yakni haram dilakukan kasi ke atasnya.”
Terdahulu itu, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong ketika menjawab persoalan sama menyatakan Akta Perlindungan Bintang Liar di bawah jagaan kementeriannya tidak termasuk pengawalan anjing dan kucing.