KUALA LUMPUR, 1 OKT – Kerajaan akan melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah mulai 12.01 tengah malam 3 hingga 16 Oktober, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau bagaimanapun berkata perkhidmatan perlu seperti bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.
“Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang dikuarantin dan akan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di sini, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini, kekal berkuat kuasa seperti biasa.
Katanya sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Jawatankuasa Bencana Alam COVID Sabah yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri. – Bernama