Assalamualaikum dan harapnya semua dalam lindungan Allah SWT.
Di ruangan ini, aku nak luahkan sesuatu yang dah lama aku pendam. Aku tak suka berkira, tapi aku juga bukan bank. Aku bukan kedai pajak gadai.
Aku cuma manusia biasa yang bekerja keras untuk cari rezeki sendiri, bukan untuk menanggung orang lain yang ambil kesempatan.
Kita semua ada kawan yang suka pinjam duit. Aku pun tak kisah kalau dia betul-betul perlukan bantuan. Kalau dia susah, aku boleh memahami. Kita sama-sama kawan, aku pun tidak sampai hati hendak membiarkan dia tersepit. Tapi yang buat aku terkilan, setiap kali pinjam, dia ter‘lupa’ hendak membayar semula!
Yang lagi pedih? Bila aku tengok media sosialnya, dia seronok pergi bercuti, makan di kedai mewah, beli barang mahal.

Kalau mampu buat semua tu, kenapa hutang aku tidak boleh terlintas dalam fikiran? Bukan aku hendak berkira, tapi rasa macam dipijak-pijak. Macam aku ni tidak penting. Bila susah, cari aku. Bila senang, pura-pura lupa pula.
Dulu aku malas nak minta dibayar balik kerana malu hendak menagih hutang. Tapi sekarang aku sedar, kenapa aku pula yang malu sedangkan dia yang berhutang? Aku pula yang rasa bersalah bila nak tuntut hak sendiri.
Kalau aku tidak tuntut hak ku, dia pula buat tidak tahu. Kalau aku minta, dia bagi alasan. Sampai bila?
Sufyan, kalau kau terbaca ini, aku tidak kisah kau nak bercuti atau makan mewah. Itu hak kau. Tapi hutang tetap hutang. Jangan buat-buat lupa.
Aku pun ada komitmenku sendiri. Aku pun mahu hidup senang macam kau. Tapi aku bukan jenis yang ambil hak orang lain untuk kepentingan sendiri.
Ramli
NASIHAT DANG MP
Terima kasih kepada Ramli kerana luahan awda. Sudah tentu kita yang memberi hutang dengan niat membantu akan rasa terkilan, kecewa dan mungkin marah apabila rakan yang berhutang bertindak seperti melupakan tanggungjawabnya.
Ini adalah situasi yang sering berlaku dan boleh memberi kesan kepada emosi serta hubungan persahabatan.
Pertama, penting untuk kita memahami bahawa hutang adalah amanah. Islam sendiri mengajarkan bahawa hutang mesti dibayar, dan melengahkannya tanpa sebab adalah satu kezaliman.
Sebagai pihak yang memberi pinjaman, kita juga perlu mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini tanpa membebankan diri dengan emosi negatif.
Dang MP cadangkan supaya Ramli terus hubunginya lagi dan berbincang dengan cara yang baik.
Elakkan tuduhan atau kata-kata yang boleh merosakkan hubungan, sebaliknya gunakan pendekatan lembut seperti: “Aku tahu mungkin kau sibuk, tapi aku harap kau dapat selesaikan hutang yang dulu. Aku pun ada komitmen sendiri.”
Jika rakan itu terus mengelak, awda boleh mempertimbangkan untuk tidak lagi memberi pinjaman kepadanya di masa hadapan.
Ini bukan bermakna berdendam, tetapi lebih kepada menjaga kesejahteraan diri.
Belajarlah untuk menetapkan batas agar situasi yang sama tidak berulang.
Akhir sekali, kepada Sufyan atau mana-mana pembaca yang sedang berhutang, haruslah kita seberapa segera melunaskan hutang dengan siapa yang kita pinjam.
Ingatlah saat dia bersimpati dengan kesusahan kita pada masa itu dan niat ikhlasnya untuk membantu.
Janganlah bersikap zalim dengan culas membayar hutang atau dengan sengaja mengelak hutang.
Balaslah kebaikannya dengan segera melunaskan hutang seperti yang dijanjikan atau berundinglah untuk membayar secara ansuran sekiranya masih belum ada kesenangan.