Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kawasan berenang Seine ditutup semula akibat kualiti air

    PARIS, 6 JULAI – Cuaca hujan hari ini memaksa penutupan sementara tiga kawasan berenang di Sungai Seine, menurut laman web rasmi dewan bandar raya Paris, hanya sehari selepas sungai itu dibuka semula kepada orang ramai buat kali pertama dalam tempoh satu abad.

    Bendera merah dikibarkan di ketiga-tiga zon berenang yang telah ditetapkan di ibu kota Perancis itu hari ini, memberi amaran kepada orang ramai bahawa Sungai Seine ditutup akibat kebimbangan terhadap kualiti air disebabkan oleh cuaca hujan.

    Penutupan itu berlaku hanya sehari selepas pembukaan semula sungai itu yang dianggap kejayaan besar, hasil usaha bertahun-tahun untuk membersihkan Sungai Seine, membolehkan orang ramai dari pelbagai peringkat umur kembali berenang di dalamnya buat kali pertama sejak aktiviti itu diharamkan pada tahun 1923.

    Namun begitu, pada hari hujan, sistem pembetungan Paris yang dibina pada pertengahan abad ke-19 sering melimpah, menyebabkan air hujan dan sisa kumbahan mengalir masuk ke dalam sungai.

    Bagi mengurangkan risiko, pihak berkuasa bandar raya memaklumkan bahawa air Sungai Seine akan dinilai setiap hari untuk mengesan kehadiran bakteria najis seperti Escherichia coli (E. coli) dan enterokokus. – AFP

    Seorang penyelamat bertugas memantau orang ramai berada di tapak berenang selamat Pont Marie di sungai Seine pada hari pembukaannya, di Paris pada 5 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda