BEIJING, 29 OKT – Pihak berkuasa tempatan telah menutup destinasi pendakian Gunung Everest yang popular di wilayah Tibet, China kerana salji lebat dan keadaan yang berais.
Pegawai pelancongan berkata puncak Zhufeng di daerah Dingri, tempat Everest di sebelah China terletak, ditutup sehingga diberitahu kelak, menurut satu pengumuman kelmarin.
Awal Oktober, beratus-ratus pendaki terperangkap selama berhari-hari di Everest selepas ribut salji lebat melanda semasa cuti umum China yang juga musim puncak pelancongan.
Ramalan cuaca tempatan meramalkan salji dan keadaan berais sehingga hari ini, berpotensi menjadi bahaya bagi pengunjung di altitud yang lebih tinggi kerana salji yang turun walaupun dalam jumlah sederhana boleh menjejaskan laluan dan keadaan jalan raya.
Baru-baru ini, penyelamat membantu 880 orang yang terperangkap di altitud 4,900 meter. Ini termasuk 580 pendaki, 300 pemandu pelancong dan kakitangan lain, menurut media tempatan.
Pada masa itu, pihak berkuasa di Dingri menutup sementara kawasan pelancongan Zhufeng.
Gunung Everest, yang dipanggil Gunung Qomolangma dalam bahasa Tibet, terletak di sempadan antara China dan Nepal, dan mencapai ketinggian kira-kira 8,850 meter sering menjadi tarikan kepada pendaki seluruh dunia. – AP


