Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kawasan tercemar Nigeria kini tarik nafas lega

    ALODE-ELEME, Nigeria – Kaum lelaki muda di kawasan Ogoniland di selatan Nigeria, menyaksikan dengan penuh kegembiraan apabila para jurutera menggali timbunan tanah yang tercemar untuk proses rawatan dan pembersihan.

    Beberapa dekad tumpahan minyak telah mengakibatkan rantau itu sebagai zon bencana alam sekitar – tetapi kini harapan adalah tinggi dengan pertumbuhan semula pertanian, aktiviti perikanan dan juga air bersih.

    Alode-Eleme, yang terletak di luar hab minyak Port Harcourt, adalah salah satu daripada 21 tapak daripada Projek Pemulihan Pencemaran Hidrokarbon yang dikendalikan oleh kerajaan itu, telah diperuntukkan untuk kerja-kerja pemulihan.

    Pada tahun 2011, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) menganggarkan bahawa untuk menstabilkan Ogoniland boleh menelan belanja sebanyak satu bilion dolar (880 juta euro) dan mengambil masa 30 tahun untuk diselesaikan.

    Pada tahun 2016, merupakan masa yang mengembirakan, apabila pihak kerajaan telah melancarkan aktiviti pembersihan – walaupun ia mengambil masa sehingga Januari lalu sebelum jurutera akhirnya tiba.

    Beberapa penduduk wanita menerima ikan-ikan dari nelayan di Sungai Bodo, yang mengalami tumpahan minyak yang dahsyat dari saluran paipnya sekitar 10 tahun yang lalu di perkampungan Bodo, Ogoniland, yang merupakan sebahagian dari rantau Niger Delta, Nigeria. – AFP
    Para nelayan dilihat berada di perahu layar mereka di Sungai Bodo. – AFP
    Seorang nelayan berdiri di atas pokok tumbang yang dipenuhi dengan tumpahan minyak semasa air surut di sungai itu di perkampungan Ogoniland di K-Dere, berhampiran Bodo, yang merupakan sebahagian daripada wilayah Delta Niger. – AFP
    Papan tanda pesanan daripada Projek Pemulihan Pencemaran Hidrokarbon (HYPREP) di Sungai Bodo yang berbunyi: ‘Air tercemar – Jangan minum atau berenang di sini.’ – AFP

    “Kami merawat kawasan tanah di sini bagi pencemaran hidrokarbon, untuk menjadikan tanahnya subur bagi aktiviti pertanian juga tumbuh-tumbuhan,” kata Babatunde Benard, ketua firma kejuruteraan Earthpro.

    “Tidak lama lagi, airnya akan bebas dari hidrokarbon.”

    Pemimpin belia tempatan, Princewill Osaroejiji, berkata bahawa dia merasa ragu dengan proses pembersihan tersebut sebelumnya. Namun kini dia merasa lega.

    “Akhirnya, sesuatu konkrit sedang berlaku,” katanya. “Tidak lama lagi, warga kami akan mula meminum air bersih, pergi ke ladang dan menangkap ikan di sungai.”

    Minyak pertama kali ditemui di Ogoniland, sebuah wilayah sekitar 1,000 kilometer persegi (386 batu persegi) adalah di pinggir utara Niger Delta, pada tahun 1957.

    Awal tahun 1970an, menyaksikan permulaan tumpahan utama yang menyebabkan rantau itu menjadi ancaman bagi malapetaka alam sekitar dan, kemudian, aktivisme.

    Laluan sungai berselirat dan caruk yang dipenuhi dengan minyak hitam pekat, menyebabkan tiada tumbuhan tumbuh ataupun bertahan hidup.

    Para penduduk menggali lubang bor untuk air, tetapi sebaik sahaja paip dihidupkan, bau yang serupa muncul iaitu bau minyak enjin dan gas memasak.

    Di tempat-tempat seperti Bomu, Bodo, K-Dere dan Goi, tanda-tanda seperti itu adalah memberi amaran kepada para penduduk bahawa airnya tidak sesuai untuk digunakan.

    Di sebuah jeti di Bodo, satu tanda berbunyi: “Air tercemar! Jangan minum, memancing atau berenang di sini.”

    Tetapi kanak-kanaknya masih juga berenang dan mandi-manda di sungai itu walaupun berbau busuk dan berminyak.

    “Mendapatkan air bersih adalah seperti emas di sini,” kata Kelvin, 16. “Kami bergantung kepada air yang terjejas ini kerana kami tidak mampu untuk melalukan proses ‘borehole’ tersebut.”

    K-Dere adalah rumah kepada 52 telaga minyak yang dimiliki oleh syarikat minyak gergasi Anglo-Belanda, Shell, tetapi ianya tidak beroperasi buat masa sekarang.

    Shell adalah satu-satunya minyak utama di Ogoniland tetapi menghentikan pengeluaran dan penerokaannya di kawasan itu pada tahun 1993 kerana kerusuhan komuniti.

    Syarikat itu, yang telah menyumbang ke arah membiayai pembersihan HYPREP, mempunyai 44 lagi telaga minyak di kawasan itu yang juga tidak menghasilkan apa-apa.

    Walau bagaimanapun saluran paip minyak dari seluruh Niger Delta masih menular melalui Ogoniland, yang kadang-kadangnya membawa kepada kes sabotaj.

    Shell bercadang untuk meneruskan operasinya tetapi menghadapi rintangan daripada 800,000 komuniti tempatan.

    Para aktivis pula mahu firma itu untuk mengakui liabiliti pencemaran tersebut, membayar pampasan kepada mereka dan membersihkan kawasan itu.

    Firma itu telah dituduh kerana tidak melakukan usaha yang secukupnya bagi mencegah pencemaran dan pembersihan tumpahan minyak di delta. Dalam pembelaannya pula bahawa kes sabotaj saluran paip telah memburukkan lagi masalah itu.

    “Agar pembersihan dan pemulihan ini berjaya, pencemaran semula di tapak-tapak yang sudah dibersihkan itu kerap kali berlaku oleh kerana pencurian minyak mentah dan pengambilan secara haram. Oleh itu ia harus diberhentikan,” kata Shell dalam laman webnya.

    Pada Januari 2015, ia bersetuju untuk membayar lebih daripada AS$80 juta kepada masyarakat Ogoniland Bodo bagi dua tumpahan minyak yang berlaku pada 2008, berikutan kes mahkamah yang dibawa di London.

    Dan pada bulan Disember tahun yang sama, sebuah mahkamah Belanda memutuskan bahawa empat petani Ogoni dan nelayan boleh menyaman Shell untuk pencemaran alam sekitar, yang berpotensi untuk membuka jalan bagi kes-kes lain di Belanda.

    Penilaian UNEP terhadap Ogoniland menunjukkan bacaan yang nyata. Kajian itu menemui kepekatan tinggi hidrokarbon dan benzena, karsinogen, di udara setempat dan juga air minuman. Di beberapa lokasi, tahap benzena adalah lebih 900 kali lebih tinggi daripada garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Ketua projek pembersihan, Marvin Dekil, mengatakan bahawa AS$180 juta telah dibelanjakan bagi pembersihan perairan, memulihkan bakau dan tumbuhan lain.

    “Banyak yang berlaku sejak 2016 hinggalah sekarang,” katanya. “Sesetengah orang mungkin berfikir yang kita perlahan, betul.

    “Kami tidak mahu melakukan dengan cara yang lama, supaya dapat mencapai hasil yang lebih baik.”

    Membersihkan keadaan tanah memerlukan campuran rawatan mikrob dan nutrien, yang membantu memecahkan hidrokarbon tersebut.

    Alode-Eleme adalah tapak pertama sejauh mana pembersihan itu telah bermula, walaupun kerja-kerjanya akan bermula pada 20 tapak yang lain pada minggu-minggu mendatang, kata Dekil.

    Kempen alam sekitar mengatakan bahawa penduduk setempat tetap dijaga dan diberitahu mengenai bagaimana dan di mana tanah yang tercemar akan dirawat.

    Mereka juga menuduh agensi kerajaan mengabaikan permintaan air minuman sebagai langkah segera sebelum kerja-kerja bermula.

    “HYPREP hanya prihatin terhadap anugerah kontrak kerana ini adalah cara mudah untuk memperkaya individu,” kata Fegalo Nsuke, yang mengetuai Gerakan untuk Survival Orang-orang Ogoni, yang diasaskan oleh penulis dan aktivis yang dibunuh, Ken Saro-Wiwa.

    Nelayan Bigboy Daamabel, yang menghabiskan berjam-jam di sungai Bonny, turut bersetuju.

    “Ikan-ikan mati disebabkan pencemaran. Untuk mendapat sedikit penghasilan tangkapan, saya perlu keluar awal pagi ke lautan yang tinggi.”

    Ketika dia turun dari bot kayu, para pedagang bergegas membeli beberapa ikan yang telah ditangkapnya.

    Salah seorang peniaga, yang memberikan namanya sebagai Beatrice, berkata meskipun aktiviti baharu itu, orang-orang sepertinya masih menghadapi kesusahan selama bertahun-tahun lamanya.

    “Dagangan ikan telah menjadi satu-satunya perniagaan yang saya tahu bagaimana untuk melakukan. Tetapi hasil jualan sering tidak mencukupi kerana hampir semua ikan yang ada mati,” katanya yang berusia 55 tahun itu.

    “Berapa lama kita akan terus seperti ini?” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda