MIRI, 30 OGOS – Pasukan Gerakan Am (PGA) telah berjaya menumpaskan kegiatan pembalakan haram dengan penahanan seorang lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis kayu balak dan jentera bernilai RM3 juta.
Pegawai Pemerintah Batalion ke-12 PGA Miri Supt Tan Hiap Seng berkata, rampasan yang dilakukan di sebuah kilang papan haram di Long Lama pukul 1:30 petang semalam adalah terbesar setakat ini di sini.
“Seorang lelaki berusia 22 tahun telah ditahan dan pemeriksaan lanjut terhadap kilang tersebut mendapati kilang itu tidak mempunyai dokumen untuk membuktikannya beroperasi secara sah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tan berkata antara barang yang dirampas ialah lori, jengkaut, kayu balak, batang kayu dan papan. – Bernama