Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Bersempena Sambutan Hari Guru ke-28 tahun yang membawa tema ‘Guru Dedikasi Pendidikan Cemerlang’, Acara Kayuhan Basikal dan Larian Hari Guru akan diadakan pada 30 September depan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Perkara ini telah diumumkan oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Mohamed Jais bin Haji Abd Rahman yang juga selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Kayuhan Basikal dan Larian Hari Guru ke-28 bagi tahun ini dalam sidang media yang diadakan di Bilik Muzakarah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Lambak Kanan, hari ini.
Juga hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Haji Eady Sardi bin PDDSDP Haji Abdul Razak selaku timbalan pengerusi bersama dan ketua Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan Jabatan Pendidikan Kokurikulum; Awang Jalil bin Pengarah Haji Kapitan selaku setiausaha Jawatankuasa Tertinggi Kayuhan Basikal dan Larian Hari Guru ke-28 tahun serta Pegawai Pelajaran Kanan dan Ketua Unit Jasmani, Pengiran Jusri bin Pengiran Haji Hassim yang juga selaku setiausaha kanan acara tersebut.
Menurut Awang Mohamed Jais, acara itu nanti akan dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman selaku tetamu kehormat.
Beliau menjelaskan, Acara Kayuhan Basikal dan Larian Hari Guru itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pemimpin dan seluruh warga di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Di samping itu juga, ia menggalakkan warga kedua-dua kementerian dan warga negara untuk mengamalkan cara hidup sihat, di samping sebagai sokongan kepada usaha pihak kerajaan untuk menjadikan aktiviti berbasikal sebagai sukan kebangsaan dan sokongan kepada Program Bandarku Ceria dan Hari Tanpa Kereta yang diadakan pada setiap hujung minggu.
Jelasnya lagi, jarak bagi Kategori Kayuhan Basikal adalah sejauh 11.5km, manakala bagi Kategori Larian pula sejauh 5km.
Awang Mohamed Jais menambah bahawa pihak jabatan selaku penganjur aktiviti sukan sempena Hari Guru juga akan membuat kutipan derma amal yang akan disumbangkan kepada institusi pendidikan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan badan persatuan berkeperluan khas, Olimpik Khas Brunei Darussalam serta Tabung Kebajikan Kementerian Pendidikan.
Manakala itu, Awang Jalil pula menjelaskan, penyertaan acara berkenaan dibukakan kepada pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan dan KHEU, semua institusi pendidikan serta orang awam yang berminat.
Setiap peserta adalah dikehendaki memakai baju khas Kayuhan Basikal dan Larian Hari Guru dengan mengisi borang pendaftaran yang boleh diperolehi melalui laman sesawang Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.bn.
Menurutnya lagi, pendaftaran dibukakan bermula esok sehingga 6 September (waktu bekerja) dari jam 9 pagi sehingga 3:30 petang, yang mana pembayaran bolehlah dibuat di Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Jalan 10, Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Berakas bagi Daerah Brunei dan Muara; Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Bangunan Jabatan-jabatan Kerajaan, Tutong bagi Daerah Tutong; bagi Daerah Belait pula di Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Banglo Kelas C, Jalan Setia Negara dan Daerah Temburong di Jabatan Pendidikan Kokurikulum, PWD 18, Bangunan Bekas Asrama SM Sultan Hassan, Pekan Bangar Lama.
Borang yang lengkap diisi berserta yuran pendaftaran haruslah dikembalikan tidak lewat 6 September ini.
Menurutnya lagi, bagi acara ini, terdapat tiga jenis baju yang disediakan iaitu baju kayuhan basikal, baju larian dan baju polo.
Awang Jalil menambah lagi bahawa acara ini juga turut mengadakan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah-hadiah menarik kepada para peserta. Pengiran Jusri pula menjelaskan bahawa terdapat beberapa acara sukan akan diadakan bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Guru antaranya kejohanan badminton, bola jaring, tenpin boling, bola sepak, golf, larian dan kayuhan basikal.