Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Tidak dapat dinafikan bahawa menerusi kegiatan sukan seperti berbasikal bukan sahaja mampu untuk menggalakkan amalan gaya hidup yang sihat tetapi juga meningkatkan perpaduan masyarakat dengan jumlah mereka yang menyertai kegiatan berbasikal terus meningkat.
Sukan berbasikal bukannya satu sukan yang baru tetapi kini menyaksikan sukan itu meningkat dari segi populariti dan penyertaan daripada orang ramai dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli serta sama-sama menyertai kegiatan riadah kayuhan berbasikal bersama-sama segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
“Sukan basikal ini walaupun merupakan sukan yang lama tetapi telah pun menerima nafas baru dan suntikan semangat daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia sendiri sebagai contohnya dengan membawa kerabat diraja Baginda sendiri dan apa yang kita lihat bagi kali ke-3 ini, mungkin lebih banyak penyertaan daripada dua kayuhan sebelum ini.”
Perkara itu ternyata menunjukkan perpaduan itu adalah semakin kukuh di mana acara-acara keramaian seperti acara Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan dapat mengukuhkan lagi perpaduan segenap lapisan rakyat dan penduduk negara terutama apabila ia disempenakan dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam wawancara ringkas bersama Media Permata sebelum Acara Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Yang Berhormat Pehin menambah bahawa penyertaan Baginda Sultan dalam acara kayuhan berkenaan menyatakan mesej yang jelas bahawa hidup yang sihat adalah amat mustahak.
Beliau turut berkata bahawa amalan bersukan itu boleh memberikan satu nikmat dan kebahagiaan hidup dengan beriadah bukan sahaja bersama ahli keluarga tetapi juga masyarakat bersama.