Friday, February 21, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kazakhstan bentang laporan akhir siasatan nahas pesawat di Aktau

    ASTANA, 19 FEB – Laporan akhir siasatan ke atas nahas pesawat Azerbaijan Airlines berhampiran Aktau, Kazakhstan akan dibentangkan menjelang Disember 2025, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Kazakhstan, Talgat Lastayev hari ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.

    “Menurut keperluan dan piawaian serta amalan yang disyorkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), siasatan mesti diselesaikan dalam tempoh satu tahun. Sehubungan itu, laporan akhir siasatan akan disiapkan menjelang Disember tahun ini,” katanya kepada pemberita.

    Beliau berkata Kementerian Pengangkutan Kazakhstan sedang menunggu keputusan pemeriksaan teknikal.

    Menurut beliau, pakar dari pelbagai negara berhubung rapat dan Kementerian Pengangkutan Kazakhstan tidak dapat mendedahkan butiran nahas yang tidak dinyatakan dalam laporan awal. Beliau turut menggesa media untuk menunggu laporan akhir jawatankuasa siasatan.

    “Saya percaya kerja ini tidak mempunyai sebarang rahsia. Sebagai negara yang bertanggungjawab dalam siasatan nahas, kami mengutamakan keobjektifan dan ketelusan.

    Ini adalah prinsip utama penyiasatan yang bertujuan mencegah kejadian serupa pada masa hadapan,” katanya.

    Sebuah pesawat AZAL Embraer 190 yang dalam penerbangan dari ibu negara Azerbaijan, Baku ke Grozny, Rusia terhempas 25 Disember lalu berhampiran bandar Aktau di barat Kazakhstan.

    Pesawat itu membawa 62 penumpang dan lima kru. Kementerian Kecemasan Kazakhstan memaklumkan bahawa 29 orang terselamat. Kotak hitam pesawat berkenaan dihantar ke Brazil untuk proses penyahkodan bagi memastikan ketelusan siasatan. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda