ALMATY, KAZAKHSTAN, 29 DIS – Kazakhstan mengadakan hari berkabung di seluruh negara semalam selepas 12 orang terbunuh apabila sebuah kapal terbang terhempas sejurus selepas berlepas dan merempuh sebuah rumah.
Saksi bercakap mengenai jeritan penumpang tatkala kapal terbang jatuh terhempas di pinggir bandar terbesar negara Almaty pada Jumaat, tetapi kebanyakan penumpang terselamat tanpa kecederaan serius.
Jet yang membawa hampir 100 penumpang yang dikendali oleh syarikat penerbangan tambang murah Bek Air terbelah dua dan muncungnya hancur akibat impak dengan bangunan dua tingkat beberapa minit selepas berlepas dalam perjalanan ke ibu negara Nur-Sultan.
Pihak berkuasa Kazakh telah melancarkan siasatan untuk menentukan punca nahas, dan kotak hitam kapal terbang telah dihantar ke Moscow untuk pemeriksaan, menurut timbalan menteri industri Berik Kamilyev, memetik agensi berita Rusia.
Seorang mangsa memberitahu laman sesawang Tengrinews tentang ‘bunyi dahsyat’ sebelum Fokker 100 kehilangan altitud, dan bercakap me-ngenai ‘jeritan’ penumpang.
Seorang wanita juga memberitahu rangkaian televisyen Rusia Zvezda mengenai betapa beliau bernasib baik selepas beliau dan anaknya terlepas penerbangan disebabkan pesta sekolah. Di Nur-Sultan, bendera terbesar Kazakhstan dikibarkan setengah tiang untuk perkabungan sementara pegawai mengeluarkan rayuan derma darah untuk membantu puluhan penumpang yang cedera. – AFP
