ASTANA, 18 SEPT – Dua ekor harimau belang Amur akan dibawa ke Kazakhstan dari Belanda menjelang akhir September untuk membantu memulihkan populasi harimau berkenaan, menurut agensi berita nasional negara itu, Kazinform, memetik Kementerian Ekologi dan Sumber Asli Kazakhstan.
Menteri Ekologi dan Sumber Asli Kazakhstan, Yerlan Nyssanbayev berkata Kazakhstan telah berusaha untuk ‘mengembalikan ngauman’ dengan menggunakan harimau belang Amur kerana harimau belang Amur dan harimau belang Turanian mempunyai kaitan yang rapat.
Harimau belang Amur boleh menyesuaikan diri dengan suhu sejuk, manakala kebanyakan spesies lain hidup di kawasan yang panas dan lembap.
Menteri itu berkata dari segi sejarah, harimau belang Turanian hidup di hutan dan kawasan belukar di muara Sungai Ile. Spesies terakhir harimau itu dilihat di kawasan berkenaan pada 1948. – Bernama