Oleh Daniel Lim
BELAIT, 17 JULAI – Persatuan KB Bikerz dengan kerjasama persatuan The Moto & Gincu TMG, dengan bangganya mengadakan konvoi motosikal sejauh 79 kilometer dari Seria ke Luagan Lalak, sebelum berakhir di Menara Cendera Kenangan Kuala Belait baru-baru ini.
Konvoi berkenaan diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79, sebagai aktiviti simbolik yang mencerminkan penghormatan yang mendalam terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Konvoi tersebut turut mempamerkan semangat perpaduan, disiplin dan saling hormat-menghormati di kalangan penunggang di samping mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan menuju ke destinasi terakhir, Menara Cendera Kenangan yang ikonik.
