Oleh Daniel Lim
BELAIT, 13 APRIL – Kumpulan peminat motosikal KB Bikerz kini secara rasmi didaftarkan sebagai sebuah persatuan pada majlis perasmian dan pelantikan jawatankuasa baharu di Dewan Serba guna Kelab Panaga, kelmarin.
Presiden baharu Persatuan KB Bikerz, Awang Mohd Yuzri bin Haji Abdul Rahman, dalam ucapan alu-aluannya berkata, pendaftaran rasmi persatuan itu akan membuka lebih banyak peluang untuk memperluaskan keahlian dan memperkukuh visi serta moto mereka, Bersatu dan Menikmati Perjalanan dengan Selamat.
“Kumpulan ini bermula sejak akhir 1990an sebagai pertemuan kecil antara rakan-rakan yang berkongsi minat sama terhadap permotoran. Pada tahun 2003, KB Bikerz ditubuhkan secara tidak rasmi, dengan ‘KB’ bukan sahaja merujuk kepada Kuala Belait, tetapi juga membawa maksud ‘Kita Bersatu’,” katanya.
Beliau menambah, dengan pendaftaran rasmi di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Pasukan Polis Diraja Brunei, persatuan itu berhasrat memainkan peranan lebih aktif dalam mempromosikan keselamatan jalan raya serta memupuk semangat perpaduan dan persahabatan dalam kalangan penunggang motosikal.
Majlis tersebut dihadiri Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad selaku tetamu kehormat dan diiringi Penghulu Mukim Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin.
Turut hadir, wakil-wakil daripada beberapa kumpulan motosikal serta ahli-ahli persatuan KB Bikerz. Selesai ucapan, tetamu kehormat dijemput menyempurnakan upacara perasmian serta penyampaian surat pelantikan kepada ahli jawatankuasa baharu persatuan.
Antara yang dilantik ialah Awang Shahrulnizal bin Sabarali sebagai Naib Presiden; Awang Ariffin bin Mohd Ali selaku Setiausaha Agung; dan Awang Aziz bin Haji Sapar sebagai Bendahari Agung.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan jamuan malam bagi meraikan penubuhan rasmi persatuan tersebut.