Oleh Daniel Lim
BELAIT, 10 OGOS – KB Squad dari Brunei Darussalam dengan bangga mewakili negara dalam dunia permotoran klasik pada acara OldSchool Mega Gathering (OMG) yang berlangsung di Pantai Irama, Bachok, Kelantan, Malaysia, pada 2 Ogos lalu.
Acara tersebut telah mengumpulkan para peminat kereta klasik dari seluruh Malaysia serta peserta dari Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia, dengan tujuan untuk meraikan dan memelihara warisan automotif yang kaya di rantau ini.
Dengan penekanan kuat terhadap pemeliharaan sejarah industri automotif, acara itu juga diadakan sebagai platform untuk mendidik generasi muda mengenai model-model kereta yang ikonik dan bersejarah.
Perhimpunan itu turut memberi inspirasi kepada minat dalam pelbagai bidang berkaitan seperti kejuruteraan automotif, pemulihan kenderaan dan penyelenggaraan kereta klasik.
Selain itu, OMG 2025 turut memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan komuniti antara peminat kereta klasik, dengan menyediakan suasana santai dan harmoni untuk para peminat dari pelbagai latar belakang bertukar ilmu teknikal, sekali gus berkongsi pengalaman dan juga memperkukuhkan lagi hubungan serantau.


