Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 JULAI – Jalan-jalan di sekitar Kuala Belait terutamanya Jalan Tengah di tebing Sungai Belait dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sempena KBku Ceria edisi Julai yang diadakan pada malam 27 Julai dan pagi kelmarin.
KBKu Ceria bulan ini merupakan acara istimewa kerana ia diadakan oleh Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria dengan kerjasama Brunei LNG Sdn Bhd yang bakal meraikan ulang tahun ke-50 pada Disember depan.
Antara aktiviti yang diadakan pada malam 27 Julai adalah night walk yang menyaksikan para peserta yang memakai lampu keselamatan dan gelang bercahaya berjalan sejauh 4km sekitar Kuala Belait serta movie night di mana pengunjung dapat menonton pelbagai filem terpilih di atas skrin besar.
Sementara itu, pagi kelmarin, acara menyaksikan tarikan utama KBku Ceria bulan ini diadakan di mana Brunei LNG telah menjalankan perlumbaan menggunakan aplikasi telefon pintar realiti bertambah bertajuk Hijacked: The Languran ln Rescue yang diadakan bersama Dynamik Technologies.
Perlumbaan berkenaan menyaksikan para peserta berlari ke pelbagai mercu tanda dan lokasi di sepanjang Jalan Tengah untuk memenangi hadiah berupa baucar pelancongan bernilai $1,500.
Selain itu, aktiviti-aktiviti lain yang diadakan termasuk Cycling Santai Ride sejauh 29km, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan orang dewasa, pondok 3R yang memberigakan maklumat mengenai mengenal pasti bahan-bahan boleh kitar semula serta Sumpit-Sumpitan dan Cabaran Fast and Furious di mana para peserta meniup bola ping pong sejauh yang mungkin dan kereta permainan dari satu titik ke titik lain untuk memenangi pelbagai hadiah.
Di samping itu, Cawangan Operasi ‘B’ Jabatan Bomba dan Penyelamat pula mempamerkan peralatan mereka dan mengadakan beberapa cabaran bagi menanamkan rasa penghargaan atas usaha dan dedikasi anggota bomba dan penyelamat di daerah ini dalam memastikan keselamatan penduduk.
