Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) mengumumkan King’s Baton Relay Run (KBR) yang berlangsung di Brunei pada 9 November ini, merupakan salah satu acara sempena persiapan menuju Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menurut kenyataan BDNOC, acara signifikan itu disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
KBR di negara ini akan menjadi perayaan yang memberi inspirasi kepada sukan, budaya dan penjagaan alam sekitar. Ia mencerminkan komitmen negara terhadap nilai Komanwel dan usaha berterusannya untuk melibatkan belia, menggalakkan gaya hidup sihat serta melindungi alam sekitar.
KBR akan dilukis dan dihias oleh pelukis tempatan, Awang Abdul Ajihis bin Haji Terawih dari Dewan Bahasa dan Pustaka, mempamerkan warisan seni negara dan budaya Brunei sebagai sebahagian daripada perjalanan Baton antarabangsa berkenaan.
KBR itu akan berlangsung di sepanjang Bandar Seri Begawan dan pada acara itu nanti para peserta termasuk persatuan sukan jemputan berpeluang memegang Baton Raja semasa larian.
Pendaftaran akan dibuka kepada semua orang awam bermula 19 Oktober. Orang ramai yang berminat boleh mendaftar dengan cara mengisi borang dalam laman https://forms.gle/18jsdECKSou5atpRA.
Penyertaan adalah percuma dan tempat adalah terhad. Orang ramai digalakkan mendaftar awal untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman sekali seumur hidup itu. Semua peserta yang berdaftar akan menerima sijil penyertaan dan baju kemeja-T KBR eksklusif.
Selepas larian, Baton Raja akan dibawa ke Pantai Meragang pada 10 November, untuk memperingati hari pembersihan plastik.


