Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Dalam memastikan kesejahteraan pekerja Indonesia di Brunei, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Brunei Darussalam baru-baru ini menghulurkan sumbangan kepada para pekerja yang terjejas oleh penularan wabak COVID-19.
Sumbangan berupa barangan makanan asasi itu diserahkan oleh Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko pada 7 Oktober lalu dengan menandatangani pelepasan penghantaran sumbangan berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KBRI, sumbangan berkenaan merupakan salah satu usaha dan inisiatif pelaksanaan Nawacita Presiden Joko Widodo di mana Indonesia sentiasa memeduli hak, layanan dan perlindungan kepada warganya.
Sebanyak 1,000 peket barangan makanan diagihkan kepada para pekerja yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan pengetatan pergerakan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak berkenaan.
Antara yang terjejas adalah pekerja Indonesia yang bekerja di sektor perusahaan seperti restoran, warung, kedai jahit dan lain-lain, di mana aktiviti mereka terpaksa dihadkan yang menjejaskan pendapatan mereka seharian dan sebahagiannya hilang pekerjaan.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh KBRI, sejak 10 Ogos hingga 10 September lalu sebanyak 34.8 peratus pekerja Indonesia masih mempunyai pekerjaan, 33.4 peratus sudah tidak bekerja dan 31.6 peratus lagi bekerja secara separuh waktu.
Sumbangan makanan berupa beras, gula, mi segera, kopi, teh, minyak goreng, dan makanan dalam tin, yang kesemuanya produk Indonesia, adalah untuk mereka untuk terus bertahan.
Pengagihan barangan sumbangan juga dibantu oleh pegawai dan kakitangan KBRI di keempat-empat daerah dan untuk kawasan zon merah pula, penyerahan dibantu oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam.