KBRI di Brunei sambut Hari Pahlawan 2021

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Brunei Darussalam, hari ini, telah menganjurkan beberapa acara bersempena dengan Hari Pahlawan Tahun 2021.

Menurut kenyataan KBRI, sambutan dimulakan upacara peringatan yang diadakan secara maya pagi tadi yang diketuai oleh Kuasa Usaha Ad-Interim (KUAI), Irwan Iding, manakala Penolong Atase Pertahanan KBRI Bandar Seri Begawan, Mayor Caj Tinton Kurniawan selaku pemimpin acara.

Upacara turut disertai oleh seluruh kakitangan KBRI Bandar Seri Begawan, Dharma Wanita Persatuan (DWP), dan perwakilan masyarakat Indonesia yang berada di Brunei Darussalam.

Pada upacara tersebut, ucapan-ucapan daripada pahlawan kebangsaan Indonesia turut dibacakan seperti Ki Hajar Dewantara (Pahlawan Pendidikan), Dokter Cipto Mangunkusumo (Pahlawan Kesihatan), Tjut Nyak Dien (Pahlawan Kemerdekaan Asal Aceh), dan R A Kartini (Pahlawan Perjuangan Emansipasi Wanita). 

Kenyataan menyatakan, pembacaan ucapan itu adalah untuk membangkitkan semangat perjuangan membangun bangsa dan meresapi nilai-nilai yang diajarkan untuk diterapkan dalam kehidupan sehari-hari.

Antara yang mengikuti upacara secara dalam talian, kelmarin. – Gambar serahan KBRI di Negara Brunei Darussalam

Acara kemudian diteruskan dengan webinar bertajuk ‘Memaknai Semangat Hari Pahlawan bagi Generasi Muda dan Penglibatan Mereka dalam Pertahanan Negara’. 

Hadir selaku pengerusi ialah pensyarah Indonesia di Universiti Brunei Darussalam, Evi Nurvidya Arifin dan Dr Sisi Susilawati, SE, MM, MA, MHan yang merupakan alumni Lemhanas. 

Sementara itu, antara ahli-ahli panel webinar pula ialah Ketua Umum Perhimpunan Pelajar Indonesia Brunei Darussalam (PPI BD), M Iqbal dan wakil Ketua Universitas Terbuka Brunei Darussalam, Sentara Harita manakala itu, Presiden Persatuan Masyarakat Indonesia di Brunei Darussalam (PERMAI), Mukhidin Umar pula selaku moderator. 

Kegiatan berkenaan disertai lebih kurang 100 orang peserta dari Indonesia dan Brunei Darussalam, melalui Zoom dan FB KBRI Bandar Seri Begawan.

Tarikh 10 November ditetapkan sebagai Hari Pahlawan pada 1959 oleh presiden pertama Indonesia, Ir Soekarno.

Pemilihan tarikh tersebut merupakan sebagai bentuk penghormatan peristiwa bersejarah perjuangan mempertahankan kemerdekaan Indonesia iaitu Pertempuran Surabaya pada 10 November 1945 dan untuk mengenang jasa para pahlawan.