Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Negara Brunei Darussalam, hari ini, meraikan Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia ke-78 dengan upacara menaikkan bendera di perkarangan kedutaan di Jalan Kebangsaan.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Achmad Ubaedillah MA menghadiri majlis berkenaan yang dimeriahkan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Indonesia Raya’ seterusnya menaikkan bendera oleh 11 orang pelajar Indonesia dari beberapa buah sekolah menengah di negara ini.
Sejurus selepas upacara menaikkan bendera, Tuan Yang Terutama mengadakan sesi ramah mesra bersama masyarakat Indonesia yang hadir dengan memberikan kata-kata nasihat agar masyarakat Indonesia akan terus menjaga persatuan dan kesatuan negara itu, dan menjaga perpaduan, saling membantu satu dengan yang lain, memelihara kerukunan bersama dan banyak lagi.
Dalam meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia, KBRI juga mengadakan penyampaian beberapa anugerah penghargaan kepada masyarakat Indonesia atas prestasi dan peranan aktif dalam bekerjasama dengan KBRI dalam bidang pendidikan dan pengurusan perlindungan warga negara Indonesia.
Selain itu, penghargaan juga diberikan kepada beberapa kakitangan KBRI Bandar Seri Begawan yang menunjukkan prestasi terbaik bagi tahun 2023.
