Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) hari ini meraikan Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia ke-77 dengan upacara menaikkan bendera di perkarangan bangunan KBRI di Jalan Kebangsaan.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko menghadiri majlis yang dimeriahkan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Indonesia Raya’ seterusnya menaikkan bendera oleh enam orang pelajar Indonesia.
Ia diikuti dengan sesi bertafakur seminit bagi mengenang jasa rakyat Indonesia yang terkorban atas nama kemerdekaan. TYT Dr Sujatmiko dalam ucapan ringkasnya berharap warga Indonesia di Brunei dapat saling membantu, mengeratkan hubungan silaturahim antara satu dengan yang lain dan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan di negara ini.
Beliau turut menyampaikan Tanda Kehormatan Satyalancana Karya Satya 30 tahun kepada pegawai (home staff) KBRI Bandar Seri Begawan dan warga Indonesia yang berperanan mempromosi kulinari Indonesia serta memberikan layanan baik kepada masyarakat Indonesia.
Di samping itu, pegawai dan kakitangan yang telah bertugas lebih 20 tahun dan lebih 10 tahun turut menerima penghargaan.
Pengibaran bendera merupakan antara siri acara hari kemerdekaan selain kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma untuk warga Indonesia diadakan baru-baru ini.



