Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Berpuluh-puluh orang kakitangan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Negara Brunei Darussalam berserta pasangan mereka dengan berpakaian tradisional, telah mengikuti acara pengibaran bendera di kawasan depan KBRI, kelmarin bagi memperingati Hari Ulang Tahun ke-75 Kemerdekaan Republik Indonesia.
Acara itu dipimpin oleh Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko dan Penolong Atase Pertahanan KBRI, Mejar Caj Tinton Kurniawan, selaku komandan acara.
Berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, acara kali ini diadakan secara tertutup bagi masyarakat Indonesia di Brunei dan para peserta memakai penutup mulut dan hidung berikutan pandemik COVID-19. Pengibaran bendera dilakukan oleh pasukan yang terdiri daripada enam orang kakitangan KBRI, yang juga mengenakan pakaian tradisional.
Pengibaran bendera disertai dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Indonesia Raya’ yang dinyanyikan oleh semua peserta acara.
TYT Dr Sujatmiko kemudian memimpin pengamatan sejenak untuk mengenang orang-orang Indonesia yang telah melakukan pengorbanan tertinggi dan telah jatuh sebagai pahlawan untuk mencapai kemerdekaan Indonesia.

Acara diakhiri dengan bacaan doa untuk kemajuan dan kesejahteraan bangsa dan negara mereka. Selepa acara, Tuan Yang Terutama menyampaikan ucapan dirgahayu ke-75 Kemerdekaan Republik Indonesia kepada seluruh warga Indonesia termasuk yang tinggal di Brunei.
“Semoga pandemik COVID-19 dapat segera berlalu dari Indonesia dan dunia serta ekonomi Indonesia dapat segera bangkit,” ujarnya lagi.
Selain acara di KBRI, kedutaan berkenaan juga mengikuti acara Peringatan Detik-detik Proklamasi HUT ke-75 RI secara virtual di Istana Negara, Jakarta, pada pukul 11 pagi waktu Brunei.
Acara yang dipimpin oleh Presiden Republik Indonesia, TYT Joko Widodo tersebut juga diadakan secara terhad dan dapat diikuti secara virtual oleh masyarakat Indonesia melalui pendaftaran di laman sesawang Sekretariat Negara.
Pada sebelah petang, TYT Dr Sujatmiko mengadakan wawancara singkat dengan TVRI Jakarta bagi program TVRI For the World, yang juga menyiarkan lagu ‘Tanah Airku’, dipersembahkan oleh semua kakitangan kedutaan Indonesia diiringi dengan muzik angklung.
Program itu memaparkan persembahan lagu dan wawancara dengan 17 misi diplomatik Indonesia di seluruh dunia.
KBRI seterusnya mengadakan upacara menurunkan bendera yang sekali lagi dipimpin oleh TYT Dr. Sujatmiko, dan Mejar Caj Tinton Kurniawan.
Selepas upacara itu, kakitangan KBRI mengikuti acara menurunkan bendera secara langsung dari Istana Negara, Jakarta, pada pukul 6 petang waktu Brunei.