Wednesday, May 29, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    KBS pastikan infrastruktur mudah diakses

    KUALA LUMPUR, 11 DIS – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan infrastruktur sukan dalam negara mudah diakses bukan sahaja kepada atlet kebangsaan tetapi juga orang ramai.

    Menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata langkah itu penting bagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

    “KBS akan mengkaji kerjasama dengan Kementerian Pelajaran sebagai contoh buka semua kemudahan sukan di sekolah kerana sekolah sangat berdekatan dengan perumahan dan sudah mempunyai infrastruktur sukan, padang dan sebagainya. Kerajaan juga dapat jimatkan kos daripada membina infrastruktur sukan baharu,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menyaksikan Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur ke-14 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil di sini, kelmarin.

    Dalam pada itu, Hannah berkata KBS sedang giat berjumpa persatuan-persatuan sukan bagi membincangkan hal berkaitan keperluan dan kebajikan para atlet.

    Beliau berkata pihaknya akan mengumpul maklum balas hasil perjumpaan berkenaan termasuk bersama atlet hingga akhir Disember ini sebelum merangka dasar baharu kementeriannya dalam pembangunan sukan tanah air.

    “Semalam, saya berjumpa dengan jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk meminta cadangan memajukan sukan dan bagaimana lagi cara memberi pendedahan kepada atlet kita,” katanya.

    Mengulas mengenai Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur itu, Hannah berkata KBS akan membantu pihak berkepentingan dalam memperbanyakkan lagi kejohanan di peringkat bawah umur dalam negara.

    “Untuk penganjuran, saya telah mengumpul maklumat daripada penganjur, berapa kos yang diperlukan untuk mengadakan kejohanan dan selepas ini kami akan membantu apa yang boleh untuk mereka anjurkan lagi,” katanya. – Bernama

    Hannah Yeoh berkata infrastruktur mudah diakses penting bagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis temukan anggota badan ahli parlimen Bangladesh yang dibunuh di India

    NEW DELHI, 29 MEI – Anggota badan yang disyaki milik seorang ahli parlimen Bangladesh yang dibunuh semasa lawatan ke India, telah ditemukan dalam tangki septik...