KBS rai belia harumkan nama negara

KOTA KINABALU, 12 DIS – Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan memberi penghargaan kepada belia yang telah mengharumkan nama negara, khususnya Sabah dalam pelbagai bidang yang diceburi.

Menterinya Phoong Jin Zhe berkata penghargaan berkenaan adalah penting untuk menghargai sumbangan mereka sekali gus meningkatkan lagi semangat mereka untuk terus bergiat aktif dalam bidang yang diceburi.

“Saya lihat ramai belia di negeri ini yang telah mencapai banyak kejayaan di luar negara tidak kira ia adalah bidang sukan atau bidang lain seperti tarian atau nyanyian.

Oleh itu kita akan mengadakan satu majlis untuk meraikan mereka,” katanya dalam sesi townhall bersama persatuan belia di Sabah hari ini.

Beliau berkata kementeriannya juga akan memberi bantuan kepada belia yang akan mengikuti apa-apa pertandingan di luar Sabah dan luar negara.

Sementara itu, Phoong berkata kerajaan komited untuk terus memperkasakan pembangunan belia di Sabah.

Kita akan memperbanyakkan kursus atau program seperti keusahawanan di seluruh Sabah untuk memperkasakan lagi ekonomi golongan belia. – Bernama