KUALA LUMPUR, 7 FEB – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menghalang keputusan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang sama ada untuk terus berlatih di Australia atau pulang ke tanah air.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata pihaknya akan menyerahkan segala keputusan itu kepada jurulatih dan doktor perubatan Mohd Azizulhasni demi kebaikan bekas juara dunia keirin 2017 itu.
“KBS tidak pernah ada halangan untuk atlet berlatih di mana, jurulatih kata itu yang terbaik untuk Azizulhasni dan kita fleksibel. Ini tempoh kritikal dalam beberapa bulan (sebelum Sukan Olimpik Paris 2024).
“Saya juga tidak pernah bimbang dengan (prestasi) Azizulhasni kerana dia sendiri mempunyai semangat juang yang tinggi untuk dapatkan emas,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Forum Sukan Wanita di Yayasan Sime Darby, kelmarin.
Semalam dalam hantaran di Facebook, The Pocket Rocketman berkongsi mengenai Perikarditis atau radang jantung dialaminya sejak Januari lepas.
Perikarditis telah menyekat impiannya untuk menambah koleksi pingat acara pecut di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Adelaide, Australia pada Ahad.
Terdahulu, pelumba berusia 36 tahun membuktikan dirinya masih ‘berbisa’ apabila meraih pingat emas acara keirin pada Sabtu, walaupun telah disahkan menghidap Perikarditis dua minggu sebelum kejohanan.
Dalam pada itu, Hannah berkata Mohd Azizulhasni akan meneruskan rawatan di Australia dan KBS setakat ini belum menerima laporan penuh berhubung keadaan kesihatan atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu.


