GEORGE TOWN, 2 MEI – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia yakin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat memenuhi semua aspek pematuhan protokol COVID-19 yang diperlukan dalam penganjuran kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2021 yang dijadual hujung bulan ini.
Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa itu memerlukan protokol pengurusan yang lebih besar dan berbeza memandangkan ia disertai atlet dari pelbagai negara.
“Secara dasarnya saya yakin BAM mampu menguruskan kejohanan ini dan kami (KBS) akan menyokong usaha dilakukan BAM termasuk sokongan dari segi penyediaan kerangka gelembung sukan dalam memastikan penganjuran kejohanan ini dapat diadakan dengan selamat dan memenuhi keperluan SOP yang ditetapkan.
“Saya akan bawa perkara itu untuk perhatian dan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), jadi kita perlu tunggu hasil pembentangan (berhubung penganjurannya) serta melihat perkembangan terkini antara BAM dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF),” katanya dalam sidang media hari ini.
Katanya segala keperluan protokol COVID-19 itu perlu diberi perhatian bagi memastikan penyertaan atlet dunia ke Badminton Terbuka Malaysia 2021 tidak terjejas sehingga boleh memberi kesan kepada status kejohanan itu.
Reezal Merican berkata ketika ini juga terdapat beberapa negara yang sudah mengeluarkan nasihat perjalanan ke Malaysia serta beberapa negara lain, dan dalam masa sama beberapa negara turut dilarang memasuki Malaysia seperti India.
“Saya difahamkan banyak negara yang akan menyertai Badminton Terbuka Malaysia 2021 kerana ia sebuah pertandingan berprestij namun setakat ini China tidak akan menyertai kejohanan kali ini,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Reezal berkata baki perlawanan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan berlangsung seperti biasa walaupun andainya kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaru dalam masa terdekat. – Bernama