Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 1 Mac – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 Tahun 2017, Pusat Membeli-Belah KBSentral, bersama Kelab Berbasikal Belait akan menganjurkan acara berbasikal di waktu malam yang akan bermula dari kawasan letak kereta pusat tersebut pada 3 Mac ini.
Acara tersebut diadakan bagi menyerikan lagi suasana sempena Sambutan Hari Kebangsaan di samping mempromosikan aktiviti berbasikal, meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan semasa berbasikal serta mendidik para penunggang basikal untuk sentiasa memakai topi keledar dan alat-alat keselamatan lainnya.
Turut diadakan pada acara itu nanti adalah pameran dan informasi mengenai bagaimana berbasikal dengan selamat dan cabutan bertuah bagi para peserta.
Pengurus Pemasaran dan Acara KBSentral, Awang Ahmad Anwar bin Rosly memberitahu, mereka yang berminat untuk menyertai acara tersebut hanya perlu mengisikan borang yang boleh didapati di kaunter cabutan bertuah di kawasan pintu masuk KBSentral.
Menurutnya lagi penyertaan adalah percuma tetapi para peserta dimestikan untuk membawa topi keledar sendiri dan peralatan lainnya yang diperlukan bagi keselamatan selain mengenakan pakaian sesuai dan mudah kelihatan pada waktu malam.