Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KDB AL-FARUQ ditauliahkan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), berkenan berangkat ke Upacara Pentauliahan Kapal Peronda Kapal Diraja Brunei (KDB) AL-FARUQ yang berlangsung di Jeti Bravo, Pangkalan Tentera Laut Muara, hari ini.

    Upacara pentauliahan berkenaan diadakan dan diselenggarakan dengan Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) ke-9 di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura yang mana pada tahun ini dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Jeti Bravo dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pemangku Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kapten Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matserudin, TLDB.

    Turut hadir semasa upacara pentauliahan berkenaan ialah rombongan delegasi YLP ke-9 dari Republik Singapura, yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong.

    Ahli-ahli rombongan termasuk Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean; Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Tena-ga Manusia, Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad; Setiausaha Tetap (Pertahanan), Chan Heng Kee dan Pemerintah Tentera Laut Republik Singapura (TLRS), Laksamana Muda Sean Wat Jianwen.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima pesambah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan bergambar di atas KDB AL-FARUQ bersama delegasi YLP ke-9. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat bagi pemeriksaan kawalan kehormat. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Upacara berkenaan dimulakan dengan Duli Yang Teramat Mulia menerima tabik hormat diraja dan seterusnya memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 109 orang anggota TLDB yang diketuai oleh Leftenan Komander Mohammad Shahrul Idham bin Haji Bongsu.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung berangkat ke Dais Pentauliahan, di mana Surah Al-Fatihah telah dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.

    Kemudian, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda pentauliahan dan mengurniakan Commissioning Pennant kepada KDB AL-FARUQ yang diterima oleh Pegawai Pemerintah KDB AL-FARUQ, Leftenan Komander Khairul Anwar bin Pengiran Haji Abu Bakar.

    Upacara dilanjutkan dengan pengibaran Commissioning Pennant dan panji-panji TLDB di atas KDB AL-FARUQ yang diiringi dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung bagi tinjauan kapal berkenaan, sejurus laungan azan yang dikumandangkan oleh Leftenan Ahmad Zubair bin Abdul Nasir dan Doa Selamat dibacakan oleh Pemangku Pengarah JAMA’AT bagi memberkati pentauliahan KDB AL-FARUQ.

    Upacara berakhir dengan sesi bergambar ramai dan seterusnya Duli Yang Teramat Mulia dijunjung berangkat ke Mes Pegawai TLDB bagi sesi eksekutif bersama rombongan YLP ke-9 dan pemimpin-pemimpin utama Kementerian Pertahanan, Angkatan Bersenjata dan TLDB dan Republik Singapura serta diteruskan dengan Majlis Santap Tengah Hari.

    Penyerahan kapal peronda milik TLRS berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai RSS DAUNTLESS adalah tanda penghargaan dan persahabatan hasil kerjasama erat antara Angkatan Bersenjata dan TLDB serta Republik Singapura.

    Perkataan AL-FARUQ, dipilih daripada bahasa Arab yang membawa maksud berani, merupakan salah satu nilai teras ABDB dan menjadi elemen penting bagi TLDB. Sifat itu juga membina perwatakan yang berintegriti tinggi dalam mempertahankan kedaulatan maritim Negara Brunei Darussalam.

    Upacara pentauliahan itu menandakan selesainya Projek Patrol Vessel Transfer antara TLDB dan TLRS, yang melibatkan penyerahan dua buah kapal TLRS jenis Fearless-Class Patrol Vessel di mana kapal peronda pertama iaitu Kapal Peronda KDB AS-SIDDIQ telah ditauliahkan pada 21 Mac 2023.

    Kejayaan usaha itu merupakan peristiwa yang signifikan dan bermakna dalam meningkatkan dan mengukuhkan usaha kerjasama dan diplomasi pertahanan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, yang juga menjadi lakaran bersejarah dalam perkembangan TLDB khususnya dan ABDB amnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda