PUTRAJAYA, 30 DIS – Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia komited memperkukuh kawalan dan keselamatan sempadan di seluruh negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus dilindungi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebagaimana yang ramai sedia maklum kewujudan ‘lorong tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand adalah satu cabaran besar dalam menangani jenayah rentas sempadan se-perti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook rasminya hari ini beliau berkata KDN sedang menjalankan inisiatif menyediakan solusi, menggunakan teknologi yang membabitkan kos yang lebih rendah berbanding pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata agensi ‘bongsu’ KDN iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Kawalan Sempadan (AKPS) juga bakal memulakan o-perasi mereka di Rantau Panjang, Kelantan.
“Insya-Allah ini akan meningkatkan lagi kekuatan KDN melindungi sempadan Malaysia. Keselamatan sempadan negara adalah keutamaan saya semenjak dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata selain itu pelbagai inisiatif dan penambahbaikan dilakukan Jabatan Imigresen bagi mengatasi ke-sesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura, antaranya penggunaan kod QR bagi bas dan motosikal di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor. – Bernama