KOTA BELUD, 4 JULAI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai kira-kira 12 Kampung Angkat MADANI yang diberikan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi setiap kampung untuk melaksanakan pelbagai projek.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata peruntukan itu diberikan secara terus kepada pemimpin setempat dan agensi berkenaan bagi melaksanakan projek fizikal serta bukan fizikal yang memberikan impak kepada kampung masing-masing.
“… kesan daripada peruntukan RM1 juta itu turun segera, dengan pantas, tiada kerenah birokrasi membolehkan, misalnya pemasangan lampu solar 40 unit (Kampung Angkat MADANI),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pangkalan Abai, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, di Kampung Angkat MADANI SK Pangkalan Abai itu juga diwujudkan satu pos kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang turut dibantu penduduk kampung dalam kawalan keselamatan.
Beliau berkata kemudahan lain di Kampung Angkat MADANI SK Pangkalan Abai yang mempunyai kira-kira lebih 800 penduduk itu, termasuk pembinaan sistem perparitan sepanjang 150 meter bagi mengatasi masalah banjir. – Bernama
