Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    KDNK Brunei catat penurunan pada suku pertama 2025

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global bagi tahun 2025 akan menurun pada kadar 3 peratus daripada 3.3 peratus pada tahun 2024, sebelum berpulih secara sederhana pada kadar 3.1 peratus bagi tahun 2026.

    Perkara itu dinyatakan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) hari ini dalam kenyataan dasar BDCB kali pertama bagi tahun 2025.

    Dalam kenyataan tersebut, BDCB juga mengongsikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam mencatatkan penurunan sebanyak 1.8 peratus tahun-ke-tahun pada suku pertama 2025, disebabkan penurunan dalam kedua-dua sektor minyak dan gas serta sektor bukan minyak dan gas yang masing-masing merekodkan penguncupan sebanyak 1.5 peratus dan 2 peratus.

    Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan 2025 dijangka kekal sederhana, didorong oleh pemulihan pengeluaran minyak dan gas secara beransur-ansur, serta peningkatan dalam sektor bukan minyak dan gas, termasuk pembinaan, pelancongan, perdagangan dan teknologi maklumat. Ia juga didukung oleh pelaksanaan projek-projek pelaburan langsung asing (FDI) yang sedang berkembang, terutama dalam sektor-sektor petrokimia, makanan halal dan pembuatan.

    Selaras dengan trend disinflasi global, kadar inflasi Negara Brunei Darussalam mencatatkan purata -0.4 peratus tahun-ke-tahun bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2025, berpunca daripada trend disinflasi global dan serantau, serta langkah-langkah dasar domestik seperti subsidi kerajaan, kawalan harga dan kerangka dasar monetari domestik.

    Loji minyak dan gas di Seria, Daerah Belait. – GAMBAR FAIL

    Kesan inflasi yang diimport ke atas harga domestik adalah terkawal dengan terdapatnya kesamarataan nilai dolar Brunei dengan dolar Singapura.

    Mengambil kira faktor tersebut serta data Indeks Harga Pengguna terkini, BDCB telah menyemak semula unjuran inflasi Negara Brunei Darussalam bagi tahun 2025 ke lingkungan -0.6 peratus hingga 0.4 peratus.

    Kenyataan juga menyatakan jumlah aset sektor kewangan domestik mencatat peningkatan sebanyak 1.3 peratus pada suku kedua 2025, dengan nilai keseluruhan sebanyak $24.6 bilion, di mana $14.6 bilion merupakan aset sektor kewangan Islam manakala $10.0 bilion adalah aset sektor konvensional.

    Institusi-institusi penerima deposit pula menyumbang sebanyak 91.5 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sektor kewangan de-ngan nilai aset berjumlah $22.5 bilion. Sektor perbankan kekal kukuh pada suku kedua 2025 dengan agregat Nisbah Kecukupan

    Modal sebanyak 19.6 peratus, meskipun terdapat penurunan sedikit terhadap pulangan keuntungan sektor tersebut.

    Sementara itu, pada separuh pertama 2025, terdapat beberapa perkembangan dari segi pengawalseliaan. Dalam usaha untuk mengembang majukan pasaran wang domestik, BDCB telah mengeluarkan notis untuk mengemas kini keperluan Minimum Cash Balance.

    Manakala dalam membangunkan sektor kewangan Islam, BDCB bersama pihak berkepentingan mengambil langkah untuk memperkenalkan Islamic window bagi membolehkan bank-bank konvensional menawarkan produk-produk kewangan Islam.

    BDCB juga telah memperkenalkan keperluan bagi bank-bank untuk mengekalkan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai dalam usaha untuk terus mengukuhkan kedayatahanan sektor perbankan.

    Kenyataan Dasar BDCB 1/2025 yang lengkap boleh didapati di laman sesawang BDCB di www.bdcb.gov.bn. Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi BDCB di talian 8318388 atau melalui emel di info@bdcb.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda