Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    KDNK Brunei diunjurkan pulih

    Oleh Azlan Othman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Pertumbuhan ekonomi Brunei Darussalam dijangka pulih pada tahun ini dan 2023 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masing-masingnya meningkat 4.2 peratus dan 3.6 peratus, dirangsang harga minyak dan gas yang tinggi, namun berdepan cabaran utama untuk mempelbagaikan pendapatan fiskal selain minyak dan gas bagi kemapanan fiskal jangka panjang.

    Bank Pembangunan Asia (ADB) menekankan perkara itu dalam laporan Prospek Pembangunan Asia (ADO) 2022 yang dikeluarkan hari ini.

    Menurut ADB, ekonomi Brunei mencatatkan penguncupan pada 2021 sebahagian besarnya disebabkan pelaksanaan semula sekatan COVID bermula Ogos. Gangguan bekalan yang tidak dijangka ke atas industri minyak dan gas serta penangguhan projek pelaburan langsung asing (FDI) turut menjejaskan ekonomi dan menyusut 1.5 peratus pada 2021.

    Penguncupan itu juga disebabkan pengeluaran minyak dan gas yang lebih lemah, penangguhan dalam pelaksanaan FDI dan peningkatan dalam kes COVID dalam suku ketiga.

    ADB dalam laporan itu menjelaskan, bagi tahun ini, pertambahan keluaran minyak dan gas, didorong oleh eksport dan harga minyak mentah yang lebih tinggi, gas cecair asli, petroleum dan produk petrokimia akan menambah lebihan akaun semasa, diramalkan pada 16 peratus daripada KDNK.

    Peningkatan import bahan pembinaan, jentera dan peralatan untuk perluasan kilang Hengyi akan mengurangkan lebihan pada tahun depan, diramalkan pada 12 peratus daripada KDNK. Gangguan tidak dijangka dalam pengeluaran minyak dan gas serta keredaan tekanan rantaian bekalan global merupakan risiko utama dalam prospek itu. Wabak COVID baharu dan langkah pembendungan juga mungkin menghambat pemulihan.

    Peningkatan pendapatan daripada sumber selain minyak dan gas menimbulkan cabaran dasar utama kepada usaha negara untuk mencapai kemapanan fiskal jangka panjang. Belanjawan kerajaan amat bergantung pada pendapatan ini, menyumbang kepada 70 peratus daripada jumlah pendapatan dalam tahun-tahun sebelum pandemik.

    Laporan ADB juga mengatakan kesan ekonomi akibat COVID telah memberikan penekanan kepada masalah fiskal negara kerana harga minyak global yang lebih rendah dan pengeluaran minyak domestik mengurangkan pendapatan minyak dan gas daripada 19.8 peratus dalam tahun fiskal 2020 kepada 7.7 peratus dalam tahun fiskal 2021.

    Ia mengakibatkan defisit fiskal meningkat 5.6 peratus daripada KDNK dalam tahun fiskal 2020 kepada 20 peratus dalam tahun kewangan 2021. Pertambahan pendapatan komponen bukan minyak dan gas dengan itu merupakan cabaran dasar penting untuk mengekalkan kemapanan fiskal dalam jangka panjang.

    Sementara itu, ekonomi negara membangun Asia diramalkan berkembang 5.2 peratus pada tahun ini dan 5.3 peratus pada 2023, disebabkan pemulihan dalam permintaan domestik dan perkembangan berterusan dalam eksport. Bagaimanapun, ketidakpastian yang timbul daripada serangan Rusia ke atas Ukraine, pandemik koronavirus berterusan dan kawalan Simpanan Persekutuan Amerika Syarikat menimbulkan risiko kepada prospek.

    Beberapa rantau kecil, termasuk Asia Selatan dan Asia Timur, dijangka kembali kepada kadar pertumbuhan ekonomi yang dicatat mereka sebelum pandemik. Inflasi di rantau masih terkawal tetapi diramalkan naik kepada 3.7 peratus pada tahun ini, sebelum berkurangan kepada 3.1 peratus pada 2023.

    “Ekonomi di negara membangun Asia mula mencatat pemulihan ketika mereka keluar daripada pandemik COVID paling teruk. Bagaimanapun, pergolakan geopolitik dan varian virus COVID baharu mungkin menjejas momentum ini.

    “Kerajaan di rantau Asia perlu bersikap was-was dan bersedia mengambil langkah untuk mengatasi risiko berkenaan. Ia termasuk memastikan seberapa ramai orang menerima vaksin terhadap COVID. Pihak berkuasa monetari juga harus mengawasi situasi inflasi mereka dengan teliti dan tidak ketinggalan di belakang lengkung,” kata Ketua Ahli Ekonomi ADB, Albert Park.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda