Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    KDNK catat penurunan 0.3% bagi Q2 2025

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada harga tetap mencatatkan penurunan sebanyak 0.3 peratus pada suku tahun kedua (Q2) 2025 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

    KDNK menurun daripada $4.64 bilion kepada $4.63 bilion pada Q2 2025.

    Walau bagaimanapun, sektor minyak dan gas meningkat sebanyak 1.5 peratus, manakala sektor bukan minyak dan gas mencatatkan penurunan sebanyak 1.8 peratus, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) mengenai KDNK Q2 2025 Negara Brunei Darussalam,

    Peningkatan sektor minyak dan gas bagi Q2 2025 adalah didorong terutamanya oleh peningkatan pengeluaran daripada telaga minyak sedia ada dan baharu. Walau bagaimanapun, pengeluaran gas asli dan gas asli cecair (LNG) menurun, berikutan aktiviti penyelenggaraan berjadual dan tidak berjadual.

    Penurunan sektor bukan minyak dan gas adalah terutamanya disumbangkan oleh penurunan subsektor-subsektor, termasuk kewangan (15.3 peratus), lain-lain pembuatan (24.9 peratus), perdagangan borong dan runcit (3.7 peratus), dan perkhidmatan perniagaan (5.3 peratus).

    Gambar Envato

    Subsektor kewangan menurun, didorong terutamanya oleh penurunan pendapatan aktiviti perbankan berikutan kadar faedah global yang lebih rendah.

    Subsektor lain-lain pembuatan mencatatkan penurunan selaras dengan pengurangan aktiviti pembaikan produk logam, mesin dan peralatan, berikutan projek penyelenggaraan minyak dan gas yang hampir selesai. Begitu juga, subsektor perdagangan borong dan runcit turut mencatatkan penurunan selaras dengan penurunan permintaan domestik.

    Sementara itu, subsektor perkhidmatan perniagaan turut menurun selaras dengan pengurangan permintaan bagi perkhidmatan profesional, terutamanya aktiviti pengaturcaraan komputer.

    Pada harga semasa, ekonomi pada Q2 2025 adalah sebanyak $4.9 bilion, menurun daripada $5.2 bilion pada Q2 2024. Sektor bukan minyak dan gas menyumbang sebanyak 50.5 peratus, termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia.

    Manakala, sektor minyak dan gas yang merangkumi perlombongan minyak dan gas serta pembuatan LNG, menyumbang sebanyak 49.5 peratus.

    Mengikut aktiviti ekonomi, sumbangan utama KDNK bagi Q2 2025 adalah sektor industri yang menyumbang sebanyak 62.9 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan 35.8 peratus dan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan 1.4 peratus.

    Mengikut pendekatan perbelanjaan, perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat sebanyak 12.0 peratus pada Q2 2025. Manakala, komponen lain mencatatkan penurunan, termasuk eksport bersih barangan dan perkhidmatan yang menurun sebanyak 9.5 peratus, pembentukan modal kasar (pelaburan aset fizikal) sebanyak 9.5 peratus dan perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah 3.2 peratus.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda