Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Ekonomi negara mengalami pertumbuhan positif dalam empat suku berturut-turut sejak suku kedua pada tahun 2017 dengan mencatatkan 2.5 peratus pertumbuhan tahun-ketahun pada suku pertama 2018, dipacu oleh permintaan dalam negara khususnya perbelanjaan kapital sekor swasta yang berkembang pada kadar 25.8 peratus setelah meningkat 44.9 peratus pada suku sebelumnya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Kemajuan Ekonomi (JPKE), permintaan luar iaitu eksport barangan dan perkhidmatan turut meningkat sebanyak 6.9 peratus. Manakala daripada segi penawaran (supply), pertumbuhan positif tahun-ketahun pada suku pertama 2018 didorong oleh sektor industri yang meningkat sebanyak 5 peratus.
Prestasi ini didukung terutamanya oleh subsektor pembuatan gas cecair asli (LNG) dan metanol dengan pertumbuhan sebanyak 12.2 peratus berikutan pengeluaran LNG yang meningkat kepada 1,076,866 MMBtu sehari pada suku pertama 2018 berbanding 952,238 MMBtu sehari pada suku pertama 2017.
Ini diikuti oleh subsektor pembinaan dengan pertumbuhan sebanyak 24.4 peratus yang mana antara lainnya disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan kemajuan dan subsektor perlombongan minyak dan gas yang berkembang sebanyak 1.7 peratus.
Ini disebabkan oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah sebanyak 0.3 peratus iaitu daripada 125.3 ribu tong sehari pada suku pertama 2017 kepada 125.6 ribu tong sehari pada suku pertama 2018.
Selain itu, pengeluaran gas asli juga meningkat sebanyak 5.4 peratus iaitu daripada 35.8 juta meter padu sehari pada suku pertama 2017 kepada 37.7 juta meter padu sehari pada suku pertama 2018.
Manakala sektor perkhidmatan menurun sebanyak 1.3 peratus tahun-ketahun dan ini disebabkan oleh penurunan dalam subsektor perkhidmatan kerajaan sebanyak 3.1 peratus dan subsektor kewangan sebanyak 5.9 peratus.
Walau bagaimanapun, penurunan sektor ini telah diimbangi oleh peningkatan subsektor pengangkutan air telah meningkat secara signifikan iaitu sebanyak 15.5 peratus selaras dengan perkembangan eksport LNG.
Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga mencatatkan penurunan sebanyak 9.4 peratus berikutan kemerosotan dalam pengeluaran subsektor sayur-sayuran, buah-buahan dan pertanian lain dan subsektor perikanan. Subsektor sayur-sayuran, buah-buahan dan pertanian lain menurun disebabkan oleh penurunan dalam pengeluaran sayur-sayuran.
Subsektor ternakan pula mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus didukung oleh peningkatan dalam pengeluaran kambing dan ayam pedaging. Keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.