Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    KDNK negara 2023 catat 1.4 peratus peningkatan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan peningkatan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 1.4 peratus pada 2023 di mana peningkatan itu adalah disebabkan oleh pertumbuhan yang berterusan daripada sektor bukan minyak dan gas yang meningkat pada kadar 4.5 peratus.

    “Peningkatan bagi sektor ini antaranya disebabkan oleh peningkatan subsektor-subsektor seperti pengangkutan udara, kewangan dan pembinaan.

    “Walau bagaimanapun, sektor minyak dan gas mencatatkan penurunan sebanyak 2 peratus,” jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Bagi 2024, Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengunjurkan kadar pertumbuhan KDNK di antara 3.3 peratus hingga 4 peratus dengan unjuran mengambil kira peningkatan sektor minyak dan gas khususnya peningkatan pada pengeluaran minyak mentah dan gas asli.

    “Sektor bukan minyak dan gas juga menunjukkan peningkatan yang antara lain disumbangkan oleh subsektor-subsektor seperti pembuatan produk petroleum dan kimia, ternakan, perikanan dan pengangkutan udara,” jelasnya semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2024) Perbekalan 2024/2025 pada hari ketiga Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau menyatakan pihak IMF, Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) dan Bank Pembangunan Asia (ADB) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang positif bagi Brunei pada 2024 di mana IMF pada kadar 3.5 peratus, AMRO pada kadar 2.4 peratus dan ADB pada kadar 2.5 peratus.

    Yang Berhormat Dato menerangkan unjuran itu mengambil kira peningkatan usaha mempelbagaikan ekonomi khususnya pengeluaran produk sektor hiliran minyak dan gas serta aktiviti-aktiviti berkaitan dari Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd, Syarikat Brunei Methanol (BMC) dan Syarikat Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd (BFI).

    Namun di sebalik unjuran positif itu, beliau menyatakan negara dijangka turut terkesan daripada impak ketidakpastian serta beberapa risiko yang berkemungkinan akan menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

    Sektor bukan minyak dan gas turut memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda