Thursday, March 6, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    KDNK negara catat pertumbuhan 4.2 peratus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam pada harga tetap mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus tahun-ke-tahun pada 2024 berikutan peningkatan 5.5 peratus dalam sektor minyak dan gas serta sektor bukan minyak dan gas sebanyak 3.1 peratus.

    Peningkatan bagi sektor minyak dan gas adalah didorong oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah dan gas asli, antara lain disebabkan oleh peningkatan kapasiti pengeluaran daripada tenaga minyak dan gas yang sedia ada dan baharu.

    Sementara sektor bukan minyak dan gas menunjukkan pertumbuhan yang positif didukung oleh peningkatan beberapa subsektor seperti pembuatan produk petroleum dan kimia sebanyak 12 peratus, perhubungan 6 peratus diikuti perdagangan borong dan runcit sebanyak 4.3 peratus.

    Jumlah KDNK negara ini pada harga semasa bagi 2024 adalah sebanyak $20.7 bilion, meningkat daripada $20.3 bilion pada 2023. Daripada jumlah KDNK berkenaan, sektor bukan minyak dan gas yang terutamanya terdiri daripada aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia telah menyumbang 53.3 peratus.

    Manakala, sektor minyak dan gas yang merangkumi subsektor perlombongan minyak dan gas dan pembuatan gas cecair asli (LNG) telah menyumbang 46.7 peratus, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, mengenai KDNK Suku Tahun Keempat (Q4) 2024 dan Tahunan 2024 negara, hari ini.

    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Manakala itu, KDNK negara pada harga tetap bagi Q4 2024 telah mencatatkan penurunan sebanyak 1.1 peratus tahun-ke-tahun di mana ia terutamanya disebabkan oleh penurunan sektor minyak dan gas iaitu sebanyak 5.2 peratus.

    Walau bagaimanapun, sektor bukan minyak dan gas mencatatkan peningkatan sebanyak 2.7 peratus.

    Penurunan sektor minyak dan gas bagi Q4 2024 adalah disebabkan pengurangan pengeluaran gas asli dan LNG, berikutan aktiviti penyelenggaraan tidak berjadual.

    Pertumbuhan sektor bukan minyak dan gas adalah didukung terutamanya oleh peningkatan beberapa subsektor seperti pengangkutan udara sebanyak 36.5 peratus, kewangan 6.8 peratus serta perdagangan borong dan runcit sebanyak 4.9 peratus.

    Subsektor pengangkutan udara meningkat selaras dengan peningkatan jumlah penumpang udara dan kekerapan penerbangan.Sementara pertumbuhan subsektor kewangan adalah didorong oleh peningkatan pendapatan aktiviti perbankan. Pertumbuhan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit terutamanya didorong oleh peningkatan penjualan kenderaan bermotor dan penjualan runcit.

    Mengikut aktiviti ekonomi, sumbangan utama KDNK bagi Q4 2024 adalah sektor industri yang menyumbang sebanyak 58.7 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan 40.3 peratus serta sektor pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 1 peratus.

    Bagi Q4 2024, jumlah KDNK negara pada harga semasa adalah $5.4 bilion, menurun daripada $5.5 bilion pada Q4 2023.

    Daripada jumlah KDNK berkenaan, sektor bukan minyak dan gas menyumbang sebanyak 56.6 peratus daripada jumlah KDNK terutamanya terdiri daripada aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia. Manakala, sektor minyak dan gas yang merangkumi subsektor perlombongan minyak dan gas dan pembuatan LNG telah menyumbang sebanyak 43.4 peratus.

    Mengikut pendekatan perbelanjaan, KDNK negara menurun pada Q4 2024 disebabkan oleh eksport barangan dan perkhidmatan yang menurun sebanyak 12.1 peratus.

    Walau bagaimanapun, perbelanjaan akhir isi rumah telah meningkat sebanyak 3.9 peratus, diikuti perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan sebanyak 2.3 peratus serta pembentukan modal kasar sebanyak 4.8 peratus. KDNK merupakan ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.

    Laporan penuh KDNK Q4 2024 boleh didapati di laman sesawang JPES, deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda