Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KDNK negara meningkat 6.7 peratus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua Negara Brunei Darussalam pada harga semasa meningkat kepada $4.7 bilion berbanding $4.6 bilion pada suku kedua tahun 2018.

    Manakala sektor minyak dan gas yang bernilai $2.9 bilion telah menyumbang 60.5 peratus kepada jumlah nilai tambah kasar.

    Menurut kenyataan dari Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Kementerian Kewangan dan Ekonomi di sini, KDNK suku kedua 2019 pada harga tetap meningkat sebanyak 6.7 peratus tahun-ketahun berikutan dengan peningkatan terutamanya dalam sektor minyak dan gas sebanyak 8.7 peratus dan sektor bukan minyak dan gas meningkat sebanyak 4.1 peratus.

    Peningkatan dalam sektor minyak dan gas adalah terutamanya disebabkan oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah daripada 97,600 tong sehari pada suku kedua 2018 kepada 115,000 tong sehari pada suku kedua 2019.

    Pengeluaran gas asli pula meningkat daripada 32 juta meter padu sehari pada suku kedua 2018 kepada 34.3 juta meter padu sehari pada suku kedua 2019. Pengeluaran Gas Asli Cecair (LNG) juga mencatatkan peningkatan daripada 880,696 MMBtu sehari pada suku kedua 2018 kepada 984,284 MMBtu sehari pada suku kedua 2019.

    Menurut kenyataan itu lagi, peningkatan dalam sektor bukan minyak dan gas adalah terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam subsektor kewangan sebanyak 21.8 peratus berikutan peningkatan pendapatan pelaburan yang berkaitan dengan aktiviti perkhidmatan perbankan.

    Mengikut jenis kegiatan ekonomi, pertumbuhan positif tahun-ketahun pada suku kedua 2019 adalah disebabkan oleh peningkatan dalam sektor industri sebanyak 7.7 peratus. Peningkatan ini disebabkan oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah, gas asli dan LNG serta peningkatan dalam subsektor elektrik dan air.

    Manakala sektor perkhidmatan pula meningkat sebanyak 5.1 peratus yang antara lain disebabkan oleh peningkatan dalam subsektor kewangan, subsektor perdagangan borong dan runcit serta subsektor pendidikan. Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berikutan peningkatan dalam pengeluaran subsektor perhutanan, perikanan dan ternakan.

    Kenyataan itu turut menjelaskan subsektor perhutanan berkembang selaras dengan peningkatan dalam pengeluaran kayu gergaji.

    Manakala, peningkatan industri penangkapan ikan secara komersil menjadi penyumbang utama peningkatan dalam subsektor perikanan. Peningkatan dalam sektor ternakan adalah disebabkan peningkatan dalam pengeluaran kerbau, lembu dan kambing serta pengeluaran telur.

    Mengikut pendekatan perbelanjaan, peningkatan KDNK adalah disebabkan terutamanya oleh peningkatan permintaan luar iaitu eksport barangan dan perkhidmatan sebanyak 35.1 peratus tahun-ketahun.

    Manakala, permintaan dalam negara mencatatkan pertumbuhan, khususnya perbelanjaan kapital sektor swasta berkembang sebanyak 18 peratus tahun-ketahun, setelah meningkat sebanyak 9.3 peratus pada suku sebelumnya.

    KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran. Laporan penuh KDNK bagi suku kedua 2019 boleh didapati melalui laman web JPKE www.depd.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda