Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada harga tetap, bagi suku tahun ketiga (Q3) 2024, telah meningkat sebanyak 6 peratus tahun-ke-tahun. Pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan dalam sektor minyak dan gas sebanyak 12.9 peratus, manakala sektor bukan minyak dan gas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus.
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengongsikan perkara berkenaan dalam siaran akhbar berhubung KDNK bagi Q3 2024 Negara Brunei Darussalam, hari ini.
JPES seterusnya menjelaskan peningkatan bagi sektor minyak dan gas adalah didorong oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah, gas asli, dan gas asli cecair (LNG).
Peningkatan pengeluaran minyak mentah dan gas asli adalah didorong oleh pengeluaran dari telaga minyak dan gas yang baharu, manakala peningkatan dalam pengeluaran LNG adalah disebabkan oleh bekalan gas yang lebih tinggi.
Sektor bukan minyak dan gas menunjukkan pertumbuhan sederhana pada suku ketiga, didukung oleh peningkatan subsektor-subsektor seperti perikanan (25.5 peratus), elektrik dan air (15.0 peratus), pengangkutan air (10.2 peratus), dan pendidikan (3.3 peratus).
Pertumbuhan subsektor perikanan adalah terutamanya disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran daripada tangkapan ikan. Pertumbuhan subsektor elektrik dan air adalah didorong oleh peningkatan penjanaan elektrik dan peningkatan aktiviti loji pengurusan sisa. Pertumbuhan bagi subsektor pengangkutan air adalah selaras dengan peningkatan jumlah eksport LNG. Manakala, pertumbuhan subsektor pendidikan adalah selaras dengan peningkatan aktiviti pengajian tinggi.
Dari segi sumbangan utama KDNK mengikut aktiviti ekonomi, sektor industri menyumbang sebanyak 60.1 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan sebanyak 38.6 peratus dan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 1.3 peratus.
Jumlah KDNK Negara Brunei Darussalam pada harga semasa adalah sebanyak $5.03 bilion pada Q3 2024, meningkat daripada $4.98 bilion pada Q3 2023. Sektor minyak dan gas telah menyumbangkan sebanyak 46.4 peratus, termasuk aktiviti perlombongan minyak dan gas dan pembuatan LNG. Sektor bukan minyak dan gas menyumbang sebanyak 53.6 peratus daripada jumlah KDNK, terutamanya terdiri daripada aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia.
Mengikut pendekatan perbelanjaan, peningkatan pertumbuhan KDNK pada Q3 2024 adalah didorong oleh perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah yang meningkat sebanyak 6.2 peratus, diikuti oleh perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan sebanyak 1.5 peratus.
Walau bagaimanapun, pembentukan mo-dal kasar mencatatkan penurunan sebanyak 3.9 peratus. Eksport barangan dan perkhidmatan juga menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 12.5 peratus.
KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran. Laporan penuh KDNK Q3 2024 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui deps.mofe.gov.bn