Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga tetap suku pertama (Q1) 2023 mencatatkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus tahun ke tahun.
Ini adalah disebabkan oleh peningkatan dalam sektor bukan minyak dan gas sebanyak 6.2 peratus dan sektor minyak dan gas mencatatkan penurunan sebanyak 5 peratus, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) mengenai KDNK Q1 2023, hari ini.
Peningkatan bagi sektor bukan minyak dan gas pula adalah didorong oleh peningkatan subsektor-subsektor seperti pengangkutan udara sebanyak 285.1 peratus, diikuti oleh kewangan 71.7 peratus dan lain-lain perkhidmatan pengangkutan pula mencatat sebanyak 33.1 peratus.
Selain itu, peningkatan subsektor kewangan adalah selaras dengan peningkatan pendapatan aktiviti perbankan.
Bagi peningkatan subsektor pengangkutan udara dan lain-lain perkhidmatan pengangkutan adalah selaras dengan peningkatan jumlah ketibaan dan pelepasan penumpang udara berikutan pembukaan sempadan secara sepenuhnya.
Sementara bagi subsektor pembuatan produk petroleum dan kimia di bawah sektor bukan minyak dan gas telah mencatatkan penurunan disebabkan oleh penurunan pengeluaran petrokimia berikutan aktiviti-aktiviti penyelenggaraan.
Walau bagaimanapun, pengeluaran baja urea telah mencatatkan peningkatan yang signifikan iaitu sebanyak 198.5 peratus.
Manakala bagi sektor minyak dan gas pula, ia telah mencatatkan penurunan disebabkan oleh penurunan pengeluaran minyak mentah, gas asli dan gas asli cecair (LNG).
Ini berikutan kesan pandemik COVID-19 yang mana telah menyebabkan penundaan projek-projek yang berkaitan dengan penerokaan, pembangunan, pengeluaran dan pertumbuhan semula.
Pada Q1 2023, sumbangan utama KDNK mengikut aktiviti ekonomi adalah sektor industri yang menyumbang sebanyak 59.9 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan 38.9 peratus dan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan 1.2 peratus.
Jumlah KDNK Negara Brunei Darussalam pada harga semasa pada Q1 2023 adalah sebanyak $4.9 bilion berbanding $5.1 bilion pada Q1 2022.
Sektor minyak dan gas yang merangkumi aktiviti perlombongan minyak dan gas dan pembuatan LNG menyumbang sebanyak 49.2 peratus daripada jumlah nilai tambah kasar (GVA).
Sementara itu, sektor bukan minyak dan gas, yang mana termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia, telah menyumbang sebanyak 50.8 peratus daripada jumlah KDNK.
Mengikut pendekatan perbelanjaan, peningkatan pertumbuhan KDNK pada Q1 2023 adalah terutamanya didorong oleh peningkatan perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah sebanyak 24.2 peratus.
Walau bagaimanapun, pembentukan modal kasar menurun sebanyak 5.7 peratus, perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan sebanyak 5.1 peratus, dan eksport barangan dan perkhidmatan sebanyak 4.1 peratus khususnya eksport barangan bahan api galian.
KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.
Laporan penuh KDNK Q1 2023 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui deps.mofe.gov.bn.