Oleh Yusrin Junaidi
Gambar Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semalam berkenan berangkat bersama dengan umat Islam dan rakyat Baginda di negara ini bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiulap.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1438H.
Turut menjunjung keberangkatan Baginda ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Di majlis itu, Khutbah Hari Raya Aidilfitri telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan yang telah menyentuh mengenai zikir yang mana orang-orang Islam yang selalu berzikir merupakan orang-orang yang beriman dan juga jangan lalai menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan meninggalkan zikir dan solat atas sebab sibuk berhari raya mengunjungi sanak saudara.

Sementara itu dalam khutbah tersebut, Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai sembahyang yang mana ia bukan sahaja perisai atau kubu keselamatan bagi siapa yang melakukannya, malahan juga penyeri wajah yang sangat ampuh.
Kemudian, Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri telah diimamkan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Sebelum berangkat balik, Baginda bersama paduka-paduka anakanda Baginda berkenan menerima junjung ziarah dan bersalaman bersama jemaah yang sama-sama menunaikan sembahyang yang terdiri daripada rakyat dan penduduk di negara ini. Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri diadakan di masjid-masjid utama, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara bermula jam 7.30 pagi.