Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, “pendidikan sebenar sepatutnya berlaku di rumah atau dalam keluarga, kerana masa anak-anak lebih banyak di rumah berbanding di sekolah.”
Kerana itu, tegas Baginda, institusi keluarga mempunyai peranan penting dalam menyambung pembelajaran anak-anak di sekolah.
Baginda bertitah sempena Majlis Konvokesyen ke-13 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Tahun 2023, hari ini, di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.
Ilmu dan pengetahuan pengalaman yang diraih oleh graduan adalah amanah untuk diamalkan dan dicurahkan kepada masyarakat.
Pendidikan bukanlah proses berkala, tegas Baginda lagi, malah ia merupakan proses berterusan untuk sepanjang hayat, dan pendidikan juga bukan hanya berlaku di sekolah sahaja malah ia berterusan sehingga ke rumah atau ke mana sahaja.
Baginda seterusnya bertitah, sekarang kita mendapati masyarakat secara umum telah dilanda oleh pelbagai isu sosial, kesan dari penyalahgunaan media sosial.
Menurut Baginda, jika tidak dikawal, ia boleh memberi kesan kepada mental, akhlak dan pembaziran dan begitu juga boleh menyuburkan angan-angan fantasi yang jauh lebih realiti.
Maka dalam perkara itu, tegas Baginda, institusi keluarga berkewajiban mengambil tahu segala aktiviti yang tidak sihat anak-anak dalam dan di luar rumah.

Ikuti berita lanjut di Media Permata keluaran Rabu.

