KUALA LUMPUR – Kehadiran sebuah van biru kekelabuan di kawasan petempatan elit Sri Hartamas di sini, sukar untuk dilepas pandang. Masakan tidak, keadaan van itu agak daif dan berdebu – satu pemandangan janggal di kawasan perumahan mewah.
Diletakkan di tepi jalan, pintu sisi dan belakang van itu dalam keadaan terbuka. Sebuah kanopi dipasang di satu lagi sisi van, melindungi barangan yang terletak di atas meja daripada panahan matahari. Di tepi van tergantung papan tanda bertulis ‘Refiller Mobile’, lengkap dengan senarai barang serta harga.
Berbaju kemeja T lusuh yang dipadankan dengan seluar jeans cut-off berwarna hitam, Oh Sok Peng – si empunya perniagaan – duduk di dalam van, dikelilingi pelbagai tangki mini mengandungi bermacam-macam cecair.
Usai menyeka peluh di dahi, wanita bertubuh kecil itu kembali meneruskan kerja – mengepam cecair hijau ke dalam botol bekas sabun pakaian.
Beliau menyifatkan perniagaannya sebagai usaha mengurangkan plastik, walhal beliau sendiri mengisi pelbagai cecair daripada bekas plastik besar ke dalam pelbagai botol plastik lain.


“Perniagaan kami ini bukan bersifat antiplastik. Kami tidak kata yang plastik ini tidak elok dan perlu diharamkan sepenuhnya. Dalam kehidupan kita ini, kita masih perlukan bekas plastik untuk mengisi dan menyimpan cecair,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengelap botol yang sudah penuh diisi itu sebelum diketepikan, dan mengambil botol lain untuk diisi semula – kali ini dengan cecair pencuci pinggan mangkuk.
Walaupun Oh mengatakan beliau bukan antiplastik, apa yang beliau lakukan adalah sebahagian daripada pengurusan sisa plastik.
Ada dua objektif yang disasarkan oleh wanita ini, iaitu cuba menghalang plastik baharu daripada memasuki pasaran dan memastikan plastik yang baru digunakan sekali kekal dalam kitaran, bukan dihantar ke tapak pelupusan sampah.
Bagi memastikan objektifnya tercapai, Oh sanggup memandu ke kawasan petempatan di sekitar Rawang, Selangor hingga Bangsar di sini, hampir setiap hari, dan mengulangi petempatan terbabit setiap dua bulan.
Yang dilakukan oleh wanita ini adalah sebahagian daripada gaya hidup sifar sampah atau kadar sisa rendah dengan menggunakan semula serta mengurangkan penggunaan plastik.
Kempen ini semakin popular di seluruh dunia termasuk Malaysia, yang boleh dianggap sebagai tepat pada waktunya jika diambil kira kedudukan negara itu dari segi penghasilan sisa plastik.
NEGARA ‘SAMPAH’
Malaysia berdepan masalah berkaitan sampah plastik. Bergantung pada kajian yang dibaca atau dirujuk, negara itu berada di kedudukan sama ada kedua, kelima atau kelapan dari segi sumbangan sisa plastik terbesar dunia. Kajian menunjukkan mikroplastik hadir di dalam awan serta di bahagian terdalam lautan, selain di dalam tubuh haiwan dan manusia.
Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sebanyak 101,949 tan metrik plastik atau 13 peratus daripada keseluruhan 772, 349 tan metrik sampah yang dijana oleh penduduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 2021 berakhir di tapak pelupusan. Hanya 152.87 tan metrik plastik dikitar semula. Kadar kitar semula plastik Malaysia pada tahun berkenaan ialah 16 peratus.
Kadar itu meningkat pada 2022, namun jumlah sisa plastik dan sampah lain juga bertambah. Keseluruhannya, sejumlah 796,795 tan metrik sampah dengan 13 peratus atau 210,966 tan metrik adalah plastik, dihasilkan oleh penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun lepas.
Kadar kitar semula plastik pada tahun itu ialah 18 peratus, sementara kadar kitar semula untuk semua jenis sampah ialah 33.16 peratus berbanding sasaran 40 peratus menjelang 2025.
Pengurangan dan penggunaan semula plastik adalah sebahagian daripada pelan ekonomi kitaran Malaysia dalam menguruskan sisa plastik bersertakan kitar semula. Namun disebabkan oleh kadar kitar semula rakyat Malaysia masih rendah, sebarang usaha bagi mengurangkan jumlah sisa plastik ke tapak pelupusan adalah sesuatu yang bagus.
Kempen mengurangkan kadar sisa berjaya menarik ramai pengikut yang mahu menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar, dan beberapa buah syarikat kecil bukan setakat menyediakan perkhidmatan isian semula barangan rumah dan makanan, tetapi turut menghasil dan menjual produk lestari atau bebas plastik.
Minimize, antara syarkat yang berbuat demikian. Kedai sifar sampah ini terletak di Subang Jaya, Selangor dan diusahakan oleh Jayne Lee serta rakan kongsinya Tan Pei Yen. Menurut usahawan itu, idea tersebut tercetus pada 2019 apabila timbul rasa ingin tahu beliau tentang sisa plastik selepas membaca artikel tentang plastik sekali guna seperti penyedut minuman. – Bernama

