Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 11 NOV – Bagi mengeratkan silaturahim dan menggalakkan gaya hidup sihat, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkarai, Tutong telah mengadakan aktiviti bola sepak di Padang Kompleks Sukan Tutong, baru-baru ini.
Hadir menyaksikan aktiviti yang disertai oleh 50 orang penduduk kampung ialah Ketua Kampung Sengkarai, Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Awang Abdul Aziz berkata aktiviti tersebut merupakan salah satu inisiatif mereka untuk menyatupadukan penduduk kampung yang sudah lama tidak bersua muka.
“Inilah salah satu aktiviti kampung yang kami jalankan secara bulanan. Kebiasaannya, setiap hari Sabtu kami akan mengadakan aktiviti futsal di gelanggang yang dikhaskan di Kompleks Sukan Tutong ini. Dengan adanya kemudahan yang disediakan, diharapkan masyarakat di daerah ini dapat menggunakan kemudahan berkenaan dengan sebaiknya.”
Beliau menghargai semangat penduduk kampung yang merancang aktiviti riadah berkenaan dan berharap ia dapat dilakukan secara konsisten.
“Saya akan sentiasa memberikan sokongan kepada anak buah kampung saya demi kepentingan bersama,” ujarnya.
